NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rahsia Langkah Sheraton yang tidak pernah diceritakan


Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui Pakatan Harapan, salah satu syarat yang ditetapkannya ialah keperluan gabungan itu menentang Kleptokrat secara total dan memastikan bahawa UMNO ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Syarat itu dipersetujui oleh semua pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pada ketika itu masih menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.

Anwar secara dasarnya bersetuju bahawa UMNO di bawah gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengamalkan Kleptokrasi dan perlu ditumbangkan demi “menyelamatkan Malaysia.”

Bagaimanapun, tidak lama selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan, Anwar dan otai-otainya mula mengungkit-ungkit isu peralihan kuasa berbekalkan alasan kononnya wujud “perjanjian dua tahun” yang ditandatangani oleh Mahathir sendiri.

Saya pada mulanya mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan ini, namun, setelah tidak diendahkan, saya mengambil inisiatif bersama Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk menerbitkan salinan asal “perjanjian peralihan kuasa” untuk tatapan umum.

Di dalam perjanjian itu, bukan hanya tempoh atau tarikh peralihan kuasa tidak ditetapkan, salah satu syarat yang sengaja disenyapkan oleh Anwar ialah perlunya beliau menyumbang kepada kerajaan pimpinan Mahathir sebelum kuasa dialihkan.

Anwar tidak pernah memenuhi syarat itu, malah, bila ditanya, beliau selalu memberitahu wartawan bahawa beliau ingin “berehat” sementara menunggu guasa dialihkan.

Hari demi hari, Anwar terus mengungkit-ungkit isu peralihan kuasa dan mengadakan sidang-sidang media untuk mengumumkan sokongan majoriti.

Tindak-tanduk Anwar menggusarkan ahli-ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan disebabkan itu, satu siri rundingan rahsia dimulakan, membabitkan wakil-wakil dari Bersatu, PAS dan UMNO.

Logiknya mudah – kalau Anwar sendiri merancang sesuatu dengan Kleptokrat, adalah lebih baik jika Bersatu membentuk kerajaan bersama PAS dan UMNO bagi memastikan tidak ada usaha untuk menghalalkan Kleptokrasi atau melepaskan ahli-ahli Kluster Mahkamah daripada tindakan perundangan.

Biarpun begitu, Mahathir tidak terlibat dengan rundingan ini.

Pada ketika itu, pemimpin-pemimpin Bersatu mendapat maklumat bahawa Anwar sedang berunding dengan Najib dan Zahid, dan berdasarkan pemahaman saya, kedua-dua Najib dan Zahid bersedia untuk menerima Anwar atau sesiapa sahaja yang sanggup ‘membantu’ mereka sebagai Perdana Menteri.

Atas dasar inilah rundingan PAS, UMNO dan Bersatu berjaya – pada hemat saya, Zahid dan Najib bersetuju untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana menganggap bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘mungkin’ dapat membantu mereka atas ketersediaan mereka untuk mengenepikan Pakatan Harapan dan menerima Bersatu sebagai ganti.

Namun, apabila Muhyiddin cuba memujuk Mahathir untuk bersama UMNO dan PAS, Mahathir menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Kleptokrat.

Disebabkan itu, Mahathir hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan terpaksa letak jawatan apabila Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan.

Walaupun PAS dan UMNO kemudiannya bersetuju untuk menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri, Mahathir berpaut pada tuntutan perlembagaan persekutuan yang mewajibkan beliau meletak jawatan sebaik sahaja majoriti yang sedia ada hilang.

Pendek kata, Mahathir sanggup hilang kuasa atas dasar prinsip dan mengutamakan mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 berbanding kuasa dan kedudukan.

Mahathir sedar bahawa mandat ini diberikan setelah Pakatan Harapan berjuang habis-habisan menentang Kleptokrat UMNO dan berjanji untuk terus menentang rasuah dan Kleptokrat.

Namun, hari ini, Anwar sudah menggadaikan segala apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Mahathir apabila Anwar bersetuju untuk tidur sebantal dengan Kleptokrat.

Malah, Anwar bukan hanya tidur sebantal dengan Kleptokrat, beliau membawa masuk Kluster Mahkamah ke dalam kerajaan pimpinannya dan menghulurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada salah seorang ahlinya.

Adakah ini yang dimaksudkan Anwar dengan “reformasi menentang gejala rasuah dan Kleptokrasi???”

Fikir-fikirkanlah…Muhyiddin sendiri tidak pernah membantu Kleptokrat atau membawa masuk Kleptokrat ke dalam kerajaan pimpinannya…

Raggie Jessy Rithaudeen


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo