NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlu ada alternatif kepada PH, PN

SAUDARA PENGARANG,

KABINET baharu telah diumumkan dan ia sangat tidak memuaskan. Ini kerana kita telah kembali ke zaman di mana Perdana Menteri pada masa sama memegang jawatan Menteri Kewangan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tidak disenangi ramai pula diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bersama portfolio Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang ditewaskan oleh Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Parlimen Kuala Selangor juga diangkat menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebelum ini, tersirat tanggapan, “Kalau kita nakkan menteri yang baik, kita kena undi Pakatan Harapan (PH)” dan “Sekurang-kurangnya bukan Pas.”

Namun, sambutan mesra oleh wakil rakyat PH dan penyokongnya terhadap BN nampaknya semakin hari semakin menolak PH ke haluan kanan sebagai sebuah gabungan yang dikuasai elitis dan kapitalis.

Dalam pada itu, PH gemar menuding jari ke arah ‘jembalang politik’ untuk mempopularkan diri sendiri. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mereka menggunakan BN sebagai alasan untuk bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kini, mereka menggunakan Pas sebagai alasan untuk bekerjasama dengan BN. Realitinya, PH perlu faham bahawa tiada jalan pintas untuk menjatuhkan pemerintah yang dikuasai golongan pemodal.

Realiti di bumi yang nyata, semua orang sedang merana kecuali golongan maha kaya. Golongan pekerja menjadi hamba kepada pekerjaan tidak membahagiakan, yang memerah keringat mereka lebih lapan jam sehari tanpa bayaran tambahan.

Kebuluran

Pekerjaan sama dibayar gaji rendah yang tidak setimpal dengan kerja dilakukan. Tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos makanan, sewa dan hutang.

Bilamana mereka pulang ke rumah, golongan pekerja menghadapi kemurungan. Kalau tidak masuk kerja, mereka akan kebuluran tetapi kalau masuk kerja, mereka berasa tertekan.

Ketika ini, satu kumpulan ahli politik lain pula mengemukakan jalan penyelesaian mudah. Kumpulan itu berhujah mengatakan segala masalah berlaku berpunca daripada kaum lain, orang pelarian, imigran serta mereka yang bukan orang kita.

Hujah itu hanya untuk menyemai kebencian dan meraih undi. Tetapi buat pekerja yang kepenatan, mereka mungkin menerima hujah terbabit jika kumpulan itu bersungguh-sungguh menyebarnya.

Kalau kita tidak bersungguh-sungguh seperti lawan kita untuk memberi hujah alternatif, patutkah kita terkejut atau kecewa apabila politik kebencian meluaskan pengaruhnya?

Ini kerana golongan marhaen tidak dapat mendengar kita. Kita tidak berada di TikTok mahupun di padang untuk menerangkan hujah-hujah alternatif bagi melawan politik kebencian.

Apabila munculnya pihak lawan yang membungkus agenda sama dalam ideologi berbeza seperti Perikatan Nasional (PN) dengan cogan katanya, Lebih Bersih daripada BN, Bebas daripada DAP, kita menyaksikan sokongan hebat buat mereka.

Namun, hujahan balas mereka masih sama iaitu menuding jari, ejek-mengejek dan menuduh korupsi. Ideologi yang mahu dibawa langsung tidak disentuh.

Ini adalah berbahaya, iaitu tidak mengedepankan alternatif kepada politik perkauman dan agama dibawa PN dan juga segala janji PH yang tidak mengubati sakit sebenar dirasai oleh golongan marhaen. – UTUSAN

ARVEENT KATHIRTCHELVAN, Kuala Lumpur

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo