NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembedahan robotik evolusi kesihatan masa depan

Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway mencipta sejarah tersendiri, apabila menjadi antara hospital yang mempelopori dan mengungguli teknologi pembedahan robotik.

Menawarkan beberapa sistem pembedahan robotik yang termoden di pasaran, teknologi termaju itu membolehkan pasukan pakar bedah mereka yang berpengalaman luas untuk melakukan pembedahan yang kompleks dengan ketepatan yang lebih tinggi.

Pada masa sama, sistem robotik itu juga memastikan proses pembedahan lebih lancar, kurang rasa sakit serta sembuh dengan lebih cepat.


Kecemerlangan Pusat Perubatan Sunway dalam menerajui teknologi pembedahan robotik, didorong oleh kesediaan mereka untuk melabur dalam teknologi pintar terkini, iaitu Sistem Pembedahan da Vinci sejak tahun 2016.


Kemudian, pada Januari 2022, mereka memperkenalkan pula sistem pembedahan generasi ke-4 terbaharu, iaitu da Vinci Xi yang juga sistem robot pembedahan pertama seumpamanya di negara ini.


Sistem Pembedahan da Vinci Xi membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan kompleks dan rekonstruktif dengan hirisan kecil, selain meningkatkan visualisasi, ketepatan dan kawalan sepanjang proses pembedahan.


Dalam satu majlis pada 8 Disember lalu, bertempat di Pusat Konvensyen SunMed sempena meraikan 1,000 pesakit yang dibedah secara robotik, Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Perubatan Sunway (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan), Dr. Khoo Chow Huat berkata, sambutan itu merupakan detik penting bagi Pusat Perubatan Sunway.


“Sejak mula-mula memperkenalkan sistem robotik ke dalam prosedur pembedahan kami, matlamatnya adalah untuk merevolusikan penjagaan kesihatan di Malaysia dengan mencari kaedah lebih inovatif.


“Kami juga komited memastikan keselesaan dan kesejahteraan pesakit. Kami berasa gembira kerana ini dapat membantu pesakit dan berharap dapat membantu lagi pada tahun yang mendatang,” katanya.


Selain beliau, majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Seow Vei Ken, Pengurus Besar, Perkhidmatan MIS (Pembedahan Invasif Minimum) dan Pembedahan Robotik, Helen Ng Hoy Loon selain tetamu kehormat yang juga Presiden Kumpulan Perubatan Sunway (SHG), Datuk Lau Beng Long.  Pada masa sama, majlis itu turut mengundang pakar yang berpengalaman mengendalikan robot bedah da Vinci Xi ini.
Mingguan Malaysia turut diberi peluang bersoal jawab dengan Konsultan Obstetrik dan Ginekologi serta Onkologi Ginekologi, Dr. Thangesweran Ayakannu.


Sewaktu diajukan persoalan, adakah pada masa hadapan peranan doktor dan pakar bedah mungkin digantikan oleh robot sepenuhnya, Thangesweran berkata, itu persoalan yang sangat penting kerana memberi justifikasi tentang peranan robot dalam membantu para doktor.


Katanya, setiap teknik pembedahan mempunyai kesesuaian masing-masing.
“Bukan semua jenis penyakit boleh dibedah menggunakan teknologi robotik.
“Dalam bidang saya iaitu sakit puan, bukan semua penyakit kanser berkaitan sakit puan, sesuai untuk dibedah menggunakan pembedahan jenis ini.

“Contohnya, pembedahan kanser ovari, sehingga kini memerlukan pembedahan secara terbuka.


Ini kerana bukaan pembedahan perlu pada kadar 30 ke 40 sentimeter, bermakna kamu tidak boleh menggunakan robot untuk melakukan pembedahan. Tidak cukup ruang untuk robot melakukannya,” katanya.


Justeru tegasnya, teknologi pembedahan robotik tidak akan menggantikan kemahiran konvensional pakar-pakar bedah.


“Kemahiran pakar bedah sentiasa diperlukan. Teknologi pembedahan robotik ini berperanan memudahkan lagi operasi pembedahan. Saya mengalu-alukan perkembangan teknologi sebegini, dan bersedia menambah kemahiran-kemahiran untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.


Dalam pada itu, pesakit yang mendapatkan khidmat pembedahan robotik, Siva Rohini Ratnam, 67, berkata, dia tidak mengetahui sama sekali tentang pembedahan yang menggunakan robot.
“Pertama kali bertemu Dr. Thangesweran, selepas menjalani pemeriksaan beliau memberitahu dalam kes saya, pembedahan robotik adalah pilihan yang terbaik.


“Ini kerana pembedahan menggunakan robot ini kurang berisiko, malah proses penyembuhannya sangat cepat dan tidak menyakitkan. Dua faktor ini sangat penting pada pesakit,” katanya.


Pada masa sama, katanya, teknologi robotik dalam pembedahan juga mengurangkan kes kehilangan darah yang berlaku sewaktu pembedahan.


“Untuk kes saya, kurang daripada lima mililiter darah hilang. Bayangkan, kalau pembedahan konvensional, yang sangat banyak kehilangan darah,” katanya. – Mingguan Malaysia


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo