Peratusan keluar mengundi rendah : Saya sudah jangkakan peratus pengundian akan rendah. Lebih rendah di Tioman dari Padang Serai. Pengundi Padang Serai yang belum pulang mengundi pada 19 November 2022 akan pulang mengundi. Bagi pengundi Tioman mereka telah pun pulang mengundi kerana pilihanraya Parlimen tetap berlangsung dan mereka pulang mengundi di Parlimen Rompin. Untuk pulang sekali lagi agak sukar. Pengundian hari berkerja serta tiada cuti tambahan sudah tentu menghalang. Akhirnya Padang Serai mencatat 68.95% dan Tioman mencatat 58.39%.
Undi Melayu menolak total PH-BN : Saya pernah menulis mengenai pengundi melayu yang akan menolak PH-BN secara total selepas pembentukan Kabinet PH-BN. Bacaan saya tidak jauh meleset. BN mendapat 33% dan PH mendapat 11% pengundi melayu pada PRU15 sekiranya diterjemahkan dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi serta pecahan pengundi ikut kaum, sepatutnya calon PH-BN sepatutnya memperolehi undi melayu sebanyak 24,000 di Padang Serai.
Namun perkara ini tidak berlaku. Pengundi Melayu di Padang Serai telah memberikan sokongan padu kepada calon PN. Anggaran saya pengundi melayu menyokong PN Padang Serai adalah pada kadar 75%-80%. Ini diterjemahkan dengan peningkatan majoriti PN yang tinggi.
Kerusi tradisi PH yang dimenangi selama 3 pilihanraya jatuh ketangan PN dengan majoriti 2 kali ganda daripada majoriti ketika PKR menang pada 2018 dan 2013. Kenapa? Faktor pertama boikot calon PH. Penyokong BN tidak mengundi calon PH. Kedua kekecewaan ahli dan penyokong BN terhadap Presiden mereka yang telah menjadi punca PH dan DAP berjaya membentuk Kerajaan. Maka akhirnya undi Melayu solid bersama PN di Padang Serai.
Bagi Dun Tioman pula impak peralihan undi melayu ke BN juga turut berlaku. Undi bagi Parlimen Rompin dari Dun Tioman dimenangi PN pada 19 November 2022. Namun kerana peratusan keluar mengundi yang terlalu rendah dan rata-rata pengundi muda PN tidak dapat pulang, calon BN hanya mampu menang dengan majoriti yang kecil. Calon BN yang merupakan penyandang 3 penggal dan sentiasa menang dengan majoriti tinggi hanya mampu menang dengan majoriti 573. Selain itu “top-up” dari penyokong PH telah menyelamatkan calon BN.
Protes Pengundi Cina dan India terhadap PH-BN : Apabila PH-BN bergabung secara teorinya, undi Cina dan India sepatutnya dikuasai oleh PH-BN. Ini berdasarkan anggaran undi Cina dan India yang berpihak kepada PH atau BN pada PRU15. Pilihanraya Padang Serai menunjukkan satu perkembangan menarik. Terdapat peralihan undi dari Cina dan India kepada PN sebanyak 10-15%. Terdapat saluran majoriti pengundi cina dan india yang PN mencatatkan peningkatan undi. Ini membuktikan terdapat protes dari pengundi Cina dan India yang berkemungkinan tidak berpuas hati terhadap PH yang membentuk Kerajaan dengan BN.
Undi Anak Muda solid untuk PN : PN terus menguasai undi anak muda. Hampir semua saluran anak muda dikuasai sepenuhnya calon PN. Usaha Menteri Komunikasi dan Digital yang memanggil Pengurusan Tik Tok, semakin menyemarakkan kebencian anak muda kepada PH-BN yang dilihat cuba menyekat kebebasan bersuara anak muda. Kesilapan besar PH-BN adalah gagal memahami anak muda yang tidak suka dikongkong. Selain itu, sikap flip-flop PH sebelum dan selepas PRU menjadi punca PH-BN ditolak secara total oleh anak muda.
Sebagai kesimpulan, hubungan PH-BN ini merupakan resipi kehancuran buat PH dan BN. Pengundi BN tidak akan undi calon PH. Pengundi melayu dan pengundi muda sudah menolak PH-BN secara total dan pengundi Cina India sudah ada peralihan kepada PN. Momentum ini sekiranya berterusan ke Pilihanraya Negeri, ia akan menjadi kubur tanpa batu nisan buat PH-BN.
Nurul Islam Mohamed Yusoff
Leicester UK
No comments
Post a Comment