NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Minat dron bantu Zharfan jana pendapatan lumayan

MINAT mendalam terhadap dunia sains dan teknologi telah mendorong seorang pelajar tahun akhir di Universiti Malaya (UM) untuk mendekatkan diri dengan penggunaan dron secara profesional.

Tidak setakat itu, minat tersebut menjadi salah satu punca pendapatan tambahan buat Ahmad Zharfan Jalil, sekali gus dapat menampung kos pengajiannya di kampus.

Menurut pemuda yang mesra dipanggil Zharfan itu, minatnya terhadap dron bermula sejak kecil dengan berbekalkan pengalaman mengendalikan peranti tersebut.

Jelasnya, ia secara tidak langsung mendorongnya dan dua lagi rakan menubuhkan sebuah entiti perniagaan yang dikenali sebagai NZZ Production (NZZ) pada Mac lalu.

“Disebabkan minat dalam sains dan teknologi, saya pilih untuk menguasai serta mendalami ilmu berkaitan dron. Hal ini kerana teknologi baharu sangat canggih ketika ini. Ia juga sangat mudah untuk kita dapati dan akses.

“Pada masa sama, dron merupakan satu teknologi yang sangat menarik. Ia mempunyai pelbagai manfaat termasuk penghasilan videografi profesional seperti yang kami tawarkan ketika ini,” katanya kepada iGen.

Ujarnya, penubuhan NZZ bertujuan memberikan perkhidmatan videografi aeriels dan rakaman video komersial secara profesional kepada orang ramai.

Jelasnya lagi, syarikat itu ditubuhkan untuk mengetengahkan kehebatan dan keunikan dron FPV dalam penghasilan video.

“Ini merupakan salah satu kerjaya baharu iaitu sebagai pengendali dron secara profesional,” ujar anak jati kelahiran Melaka itu.

Bercerita mengenai cabaran dilalui, Zharfan berkata, dia dan kumpulannya mengakui terdapat pelbagai halangan terpaksa ditempuhi ketika melakukan kerja-kerja penerbangan dron.

“Cabaran yang sering dihadapi setiap kali menjalankan kerja-kerja melibatkan penerbangan dron adalah kawasan mencabar dan berlainan.

“Pencarian idea dan konsep baharu setiap kali merakam video juga merupakan satu cabaran besar.

“Kami juga perlu sentiasa fokus serta cakna dalam setiap penggambaran bagi memenuhi permintaan pelanggan secara total,” katanya.

Ditanya mengenai cara dia membahagikan masa antara kerja dan belajar, anak keempat daripada lima beradik itu menyatakan, ia bergantung kepada tahap disiplin yang dipraktikkan seseorang.

Dia memaklumkan, setiap perkara yang dilakukan memerlukan perancangan, selain tidak bertangguh atau mencampurkan-adukkan antara pelajaran dan bisnes pada satu masa.

Menariknya, Zharfan pernah mencapai pendapatan kasar mencecah RM12,000 bagi beberapa projek penggambaran yang dihasilkannya.

Menurut Zharfan, dia sangat berbangga dengan pencapaian tersebut, sekali gus memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus memberi perkhidmatan terbaik.

Ditebak mengenai perancangan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, Zharfan memberitahu, dia belum mempunyai hasrat ke arah itu.

“Buat masa ini memang tiada langsung perancangan untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan terlebih dahulu.

“Pun begitu, saya akan terus menuntut ilmu dalam bidang-bidang berkaitan perniagaan. Ia bagi menambah kemahiran dan ilmu agar bisnes diusahakan lebih berdaya saing serta maju,” jelasnya.

Zharfan berkata, dia memasang cita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya pada satu hari nanti.

“Saya ingin menjadi usahawan berjaya pada satu hari nanti. Saya juga ingin mengaplikasikan setiap ilmu yang dipelajari di menara gading ketika menceburi bidang perniagaan ini,” ujarnya.

Untuk makluman, Zharfan dan kumpulannya pernah mengendalikan beberapa projek besar seperti NZZ Pro Zipline Drone Service di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Projek lain yang pernah dikendalikan oleh pasukan NZZ termasuklah Zoo Melaka, Jasin Berselawat, Merlimau Berpeluh (acara larian) dan beberapa lagi program melibatkan syarikat besar dari dalam serta luar negara.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo