NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mencongak langkah PH berdepan gelombang PN di Padang Serai


Apabila proses pilihan raya di kawasan parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH, M Karupaiya, pada 16 Nov lalu ia tanpa diduga membuka ruang untuk orang ramai menguji penanda aras gelombang PN yang disaksikan di pelbagai negeri.

Hal itu kerana, ketika penyandang kerusi parlimen Padang Serai itu menghembuskan nafas terakhirnya, belum ada sesiapa yang tahu parti mana yang bakal menjadi kerajaan.

Hanya selepas seminggu kemudian barulah disahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi tunjang kerajaan persekutuan dengan didukung oleh BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan parti-parti lain.

Ia menjadi rasmi apabila Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 Nov.

Dalam keadaan itulah pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi tersebut diadakan. Ia berlaku di sebuah negeri yang dikuasai PN yang menjadi kerajaan pusat sebelum PRU ke-15.

Tidak dapat dipastikan sama ada kerajaan Kedah sudah menjangkakan atau tidak yang mereka akan menjadi blok pembangkang apabila PRK Padang Serai dijalankan nanti.

Keputusan di Padang Serai esok bakal memberi indikator sejauh mana kesan kerajaan persekutuan yang dibentuk itu dengan gelombang PN berada di pihak pembangkang.

Usaha sebar maklumat mencabar

Sesudah melalui tempoh berkempen pada sebelum dan selepas kerajaan persekutuan terbentuk, pada umumnya pihak pembangkang mempunyai modal kempen yang lebih sensasi dan segar.

Di pihak kerajaan pusat pula - yang diwakili calon PH - mereka dilihat masih mencari rentak khususnya untuk memperkenalkan dasar-dasar baru yang mesra rakyat dan memberi sentuhan berkesan khususnya berkait isu kos sara hidup.

PH juga bergelut dengan cabaran tersendiri iaitu untuk memberi keyakinan berhubung jajaran politik baru yang terjalin dengan BN.

Pada masa sama BN terpaksa bekerja keras untuk memberi kefahaman kepada penyokong mereka bahawa calon asal dari parti itu sudah menarik diri dan undi masing-masing perlu diberikan kepada calon PH.

Calon BN, C Sivarraajh, dalam satu sidang media khas semalam mengakui bahawa penyokongnya masih keliru dengan situasi yang berlaku di sebalik persefahaman yang dicapai di antara parti itu dengan PH.

Ia jelas memberi isyarat bahawa, dengan tempoh kurang dari 24 jam ini, sangat mencabar untuk BN menyampaikan maklumat tersebut secara menyeluruh.

Keadaan dijangka menjadi lebih sukar apabila nama Sivarraajh tetap akan terpapar pada kertas undi esok.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati sepanjang kempen berlangsung, jika kehadiran penonton ceramah menjadi ukuran, kelebihan masih berpihak kepada PN.

Program PN dilihat lebih bersasar kepada golongan tertentu khususnya dengan membabitkan pengundi muda dan mendapat sambutan agak menggalakkan.

Dalam ceramah mega yang dianjur juga, ia dihadiri ribuan orang dengan suasana yang begitu meriah dan sesak khususnya jika penganjur menampilkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan kehadiran Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Faktor-faktor tersebut memberi petunjuk awal bahawa gelombang yang diraih PN khususnya selepas memenangi 13 daripada 14 kerusi parlimen di Kedah baru-baru ini masih berterusan di Padang Serai.

Namun perlu diingat, kemenangan esok bukan ditentukan oleh bilangan orang yang hadir dalam program kempen atau ceramah. Dan tidak ada jaminan orang yang datang itu akan mengundi nanti.

Kesan kehadiran Zahid

Selain itu penampilan calon juga pastinya berperanan penting dalam menentukan nasib mereka di atas kertas undi nanti.

PN yang menampilkan Azman Nasrudin mempunyai kelebihan sebagai seorang exco kerajaan Kedah dan anggota dewan undangan negeri (Adun) Lunas yang berkhidmat di kawasan itu sejak 2013.

Walaupun dilabel sebagai 'pengkhianat' selepas meninggalkan PKR - sekali gus menyumbang kepada jatuhnya kerajaan PH di Kedah - hakikat tersebut bagaimanapun dilihat tidak banyak mengganggu kempennya.

Sementara itu calon PH Mohamad Sofee Razak pula merupakan calon muka baru yang pastinya lebih bergantung nasib kepada pengaruh parti yang memenangi kerusi itu sejak tiga penggal lalu, tetapi dengan senario berbeza.

Mendiang Karupaiya pada PRU ke-14 lalu memenangi kerusi Padang Serai dengan majoriti 8,813 undi bagi menewaskan calon PAS dan BN.

Namun jumlah majoriti itu tidak lagi boleh dijadikan sandaran selepas banyak kerusi kubu kuat PH tumbang dengan gelombang sokongan terhadap PN pada 19 Nov lalu.

Berbanding peluang dimiliki calon PN, Mohamad Sofee pastinya menjadi calon underdog walaupun dapat dijangkakan undi penyokong BN juga akan beralih kepadanya.

Kehadiran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di pentas ceramah untuk membantu calon PH pula belum diketahui kesannya.

Selain itu sama seperti pilihan raya lain, peluang PH akan dipengaruhi juga oleh jumlah peratusan keluar mengundi dan segmen sokongan masyarakat bukan Melayu.

Kawasan parlimen Padang Serai mempunyai 132,955 pengundi dengan lebih 40 peratus adalah bukan Melayu.

Dalam keadaan suasana kempen yang terus diwarnakan dengan sentimen perkauman dan agama, keadaan tentu akan menjadi lebih mudah buat PH jika esok lebih ramai pengundi Melayu - termasuk penyokong Umno - memberikan sokongan kepada Mohamad Sofee.

PN pula sudah tentu mahu memperkukuhkan lagi sokongan pengundi Melayu kepada parti terbabit. Hal itu dapat difahami dengan cara dan pendekatan kempen yang dijalankan mereka selama ini.

Apa pun keputusannya esok, Padang Serai bakal menjadi indikator kepada PN dan PH untuk merangka langkah masa depan. Ia juga akan menjadi 'pembakar semangat' buat parti yang menang.

Jika PH berjaya, ia akan memberi nafas segar buat mereka di Dewan Rakyat, manakala andai sebaliknya, kemenangan Azman sekurang-kurangnya dapat menjadi titik tolak rakyat terutama golongan Melayu tidak bersama dengan kerajaan PH/DAP-BN. Kerajaan yang ada akan menghadapi masa depan yang sukar.



........
Komen: PH Hancing + Kleptokrasi


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo