NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia perlukan pembaharuan fundamental dasar buruh


TERDAPAT euforia yang meluas di dalam dan di luar negara atas pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. 

Setelah berjaya mengetepikan begitu banyak halangan dalam perjalanan ke jawatan tertinggi itu, persamaan yang dibuat dengan bekas Presiden Afrika Selatan dan pemimpin antiapartheid, Nelson Mandela, bukanlah sesuatu yang tidak wajar. 

Antara banyak isu yang perlu ditangani oleh perdana menteri ialah ketidakpuasan hati pekerja yang semakin meningkat dan khususnya membabitkan golongan pekerja miskin.

Setiap kerajaan yang telah mentadbir Malaysia termasuk kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018, telah membuat kenyataan akan menjaga pekerja dan melindungi kepentingan mereka. 

Sehingga ke satu tahap yang agak jelas, semuanya telah gagal. Paling ketara, beberapa langkah nominal telah dibuat untuk memberi manfaat kepada pekerja, seperti pengenalan gaji minimum pada tahun 2013.

Sebelum memperkenalkan sebarang langkah taktikal dan biasanya tokenistik yang bertujuan menenangkan para pekerja untuk seketika, penilaian strategik perlu dilakukan bagi menghargai kekuatan dan kelemahan sistem dan kemudian memutuskan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu-isu yang melanda pekerja di negara ini. 

Jika ini bermakna sistem itu perlu dirombak secara radikal, kerajaan baharu seharusnya mempunyai kemahuan politik untuk berbuat demikian. Sudah terlalu lama, politik isyarat telah disalah anggap sebagai mentadbir. 

Kini tiba masanya untuk kerajaan mentadbir dan menangani peningkatan kos sara hidup, kemiskinan mutlak dan relatif, eksploitasi pekerja dan penganiayaan terhadap aktivis buruh.

Kemiskinan, sama ada mutlak atau relatif, perlu diukur dalam konteks masa kini dan tidak menggunakan piawaian zaman dahulu. Pada zaman sekarang, adakah memiliki telefon bimbit satu keperluan atau satu kemewahan? 

Kerajaan harus melihat untuk memastikan setiap pekerja dibayar “upah hidup” supaya mereka boleh mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat.

Persoalan tentang seseorang itu promodal atau proburuh tidak sepatutnya timbul dan hala tujunya harus dalam mewujudkan platform keadilan sosial berkembang maju. 

Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan permulaan dan semasa mereka dalam kehidupan mesti mempunyai peluang yang sama untuk menentukan nasib sosial dan ekonomi mereka. 

Merit, perusahaan dan kerja keras harus diberi ganjaran sama seperti perlu ada jaringan keselamatan untuk semua rakyat Malaysia. 

Sistem ini perlu membenarkan kedua-dua perniagaan dan pekerja berkongsi kemakmuran negara. Pada masa ini, sistem itu sangat memihak kepada perniagaan besar dengan hak pekerja telah diinjak-injak tanpa dikenakan hukuman.

Sistem perhubungan industri di Malaysia adalah warisan penjajahan British, yang telah dan masih digunakan untuk menindas hak pekerja. 

Ia membenarkan bentuk kapitalisme yang tiada perasaan wujud, dengan sistem berdasarkan peraturan yang ditulis memihak kepada mereka yang memiliki kekayaan. 

Mobiliti sosial yang menyokong sebarang bentuk sistem berasaskan merit menjadi langkah yang terlalu jauh kepada banyak pihak. 

Kepercayaan terhadap sistem telah terhakis dari semasa ke semasa dan di sinilah bahaya yang nyata kerana apabila orang hilang keyakinan terhadap sistem anarki tadbir urus akan berakar umbi dalam bentuk yang berbeza.

Perdana menteri boleh mula merangka semula sesuatu dengan mengembalikan Kementerian Buruh yang kini dipanggil sebagai Kementerian Sumber Manusia. 

Walaupun ia kelihatan seperti semantik ia akan menjadi permulaan untuk menumpukan semula perhatian kerajaan ke arah memenuhi kepentingan rakyat Malaysia biasa terlebih dahulu. 

Untuk merombak landskap buruh di negara ini tindakan perlu diambil secara berbeza dan beberapa perspektif baharu diperlukan. 

Pendekatan tradisional bagaimana pihak kolonial dan kleptokrat Malaysia melihat sesuatu perlu diketepikan. Terdapat beberapa minda cemerlang di luar sistem yang boleh dimanfaatkan seperti Syed Shahir Syed Mohamud dan K.S. Jomo.

Anwar menegaskan beliau menjangkakan Kabinetnya yang akan dibentuk tidak lama lagi akan bekerja rapat dengan perkhidmatan awam. 

Walaupun tindakan itu jelas perlu terdapat keperluan yang sama mendesak untuk memastikan sama ada terdapat tahap kecekapan yang betul dalam perkhidmatan awam untuk menyokong agenda perubahan yang beliau rancangkan.

Jeritan rakyat miskin yang bekerja perlu didengari oleh kerajaan, dengan keadaan yang teruk dan kesabaran rakyat semakin menipis. – 1 Disember, 2022.

Callistus Antony D’Angelus
Penasihat Buruh Antarabangsa
Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo