Dalam posting saya sebelum ini, saya ada mengulas mengenai isu ‘vote transferability’ atau kebolehpindahan undi. Berdasarkan kajian yang dibuat sebelum PRU-15, didapati tidak ada ‘vote transferabilty’ antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jika kedua-dua parti ini bergabung.
Hanya 1/3 penyokong BN dan PH bersetuju kedua-dua parti ini bergabung.
Ini bermakna, jika kedua-dua parti ini memasuki gelanggang pilihan raya sebagai satu gabungan, 2/3 daripada penyokong parti mereka tidak akan menyokong.
Datuk Seri Saufuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Pakatan Harapan dalam tulisan di facebook beliau mengakui telah ada perbincangan antara BN dan PH sebelum PRU-15 untuk kedua-dua parti membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
(Saifuddin kemudiannya mengatakan beliau silap susun ayat dalam tulisan di facebook – lihat Utusan
Semasa kempen PRU-15, pemimpin kedua-dua parti itu menafikan sekeras-kerasnya ada perbincangan antara mereka untuk membentuk kerajaan gabungan.
Saya agak mereka tahu kalau perkara ini didedahkan kepada rakyat, mereka akan hilang sokongan dalam kalangan penyokong mereka sendiri dan kalah di banyak kerusi.
Kerana itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya semalam mengatakan pembohongan PH dan BN ini adalah “the biggest electoral fraud ever” dalam sejarah negara. (Berita Harian).
Keputusan PRU-15 yang tertangguh bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman membuktikan memasuki gelanggang pilihan raya sebagai gabungan adalah satu malapetaka buat PH dan BN. Calon PH kalah teruk di Padang Serai dan calon BN menang tipis di Tioman.
Calon PH di Padang Serai hanya meraih 35,377 undi berbanding calon PN yang mendapat 51,637 undi. PN menang dengan majoriti 16,260 undi.
Dalam PRU14, calon PKR memperoleh 31,724 undi, calon PAS (22,911 undi), manakala calon BN (15,449 undi). PKR menang dengan majoriti 8,813 undi.
Jika undi BN beralih kepada PH, calon PKR sepatutnya memperoleh sekurang-kurangnya 47,173 undi dalam pilihan raya di Padang Serai. Tetapi ini tidak berlaku.
Ini bermakna tidak ada ‘vote transferability’ antara BN dan PH yang mengesahkan dapatan kajian saya sebelum PRU-15. Undi BN tidak beralih kepada PH, tetapi sebaliknya beralih kepada Perikatan Nasional.
Penyokong BN ternyata kecewa dengan keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan PH lantas memberi sokongan kepada Perikatan Nasional.
Kerusi Padang Serai dengan komposisi pengundi mengikut kaum 63 peratus Melayu, 18 peratus Cina dan 19 peratus India adalah kerusi Gred A bagi PKR. Ini adalah kerusi dengan faktor kebolehmenangan (winnability) paling tinggi bagi PKR. Kerusi ini dimenangi oleh PKR sejak tahun 2008, iaitu tiga penggal berturut-turut.
Semasa saya mewakili Bersatu dalam pasukan rundingan kerusi dengan PKR sebelum PRU-14, kerusi Gred A ini mati hidup balik pun PKR tidak akan serahkan kepada Bersatu.
Tetapi kini, PKR kalah di kerusi tradisi mereka dengan majoriti 16,260 undi. Bukan sedikit. Jadi kerusi ini mungkin dah jadi kerusi Gred D atau E untuk PKR.
Apakah implikasi “kahwin paksa” antara PH dan BN terhadap kerusi-kerusi Gred A PKR yang lain seperti Bandar Tun Razak, Sungai Petani, Setiawangsa, Lembah Pantai, Ledang, Pasir Gudang, Johor Bahru dan lain-lain yang mempunyai komposisi kaum hampir sama dengan Padang Serai?
Jika “kahwin paksa” BN dan PH berterusan hingga PRU-16, adakah nasib kerusi-kerusi ini akan sama seperti Padang Serai?
Saya bukan Nujum Pak Belalang atau ‘political pundit’. Jadi saya tak boleh jangka apa yang akan berlaku untuk tempoh lima tahun akan datang. Dalam politik satu hari pun lama. Macam-macam boleh berlaku. Apatah lagi lima tahun.
Namun, yang paling hampir ialah Pilihan Raya Negeri Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang akan berlaku dalam tempoh lima ke enam bulan akan datang.
Jika trend pengundian dalam PRU-15 dan Padang Serai serta Tioman berterusan, kita boleh jangkakan Perikatan Nasional akan dapat mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan selesa.
Manakala kerusi-kerusi yang mempunyai komposisi kaum yang hampir sama dengan Padang Serai di negeri-negeri di bawah pentadbiran PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, mungkin berada di dalam bahaya.
Datuk Dr Marzuki Mohamad
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment