NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Logikkah gaji minimum RM1,500 di ibu kota?

SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan bermula Mei lalu dikatakan menjadikan Malaysia antara yang mempunyai kadar pemberian gaji minimum tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 dengan kenaikan RM100 kepada RM1,200 daripada RM1,100 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020.

Namun, benarkah kadar gaji baharu itu benar-benar mencukupi? Untuk mengetahuinya, kita perlu melupakan kemelut politik tanah air dan kembali berpijak di dunia nyata. Kembali kepada realiti masalah kehidupan seharian iaitu pendapatan tidak mencukupi khususnya bagi warga kota.

Contohnya, seorang bapa yang kita namakan Saiful berumur 45 tahun. Dia mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan enam anak dalam lingkungan umur lapan bulan hingga 21 tahun.

Tinggal di Sungai Tangkas, Bangi, Selangor. Bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Dia diberi gaji RM1,500 sebulan tanpa potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), berulang-alik ke tempat kerja menaiki motosikal.

Dengan gaji RM1,500 sebulan, bagaimana agaknya kehidupannya? Gaji ditolak makan minum dan perbelanjaan anak-anak, apa yang tinggal?

Sebagai penggubal undang-undang, apakah tindakan Yang Berhormat (wakil rakyat) yang dilantik bagi menyuarakan masalah ini?

Apa tindakan yang telah dilakukan oleh Menteri Sumber Manusia sebelum ini bagi membela nasib rakyat seperti ini? Saya yakin, kisah Saiful merupakan salah satu daripada jutaan kisah warga kota yang tinggal di Lembah Klang.

Jika RM1,500 itu adalah nilai yang sangat sukar untuk kehidupan orang bujang di Lembang Klang, apatah lagi kehidupan seorang bapa dengan menanggung seorang isteri dan enam anak. Logikkah? – UTUSAN

IKAZ, Kuala Lumpur


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo