LONDON : Tinjauan terbaharu mendapati, hampir suku juta golongan muda yang menganggur di United Kingdom (UK) mengakui tidak pernah merancang untuk mendapatkan pekerjaan sementara dua pertiga lagi mengadu berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang baik ketika ini.
Lapor Daily Mail, tinjauan terhadap remaja berusia 18 hingga 24 tahun mendapati 227,000 golongan muda yang tidak bekerja atau tidak menyambung pelajaran mendakwa mereka tidak pernah berhasrat untuk memasuki pasaran buruh.
Laporan berkenaan turut menunjukkan hampir separuh daripada mereka yang bekerja, masih menerima sokongan kewangan daripada keluarga mereka, dengan jumlah itu meningkat kepada 50 peratus di London.
Tinjauan itu juga mendedahkan lebih daripada satu perlima atau 21 peratus golongan muda tidak memahami bagaimana cara untuk berjaya memohon pekerjaan sementara hampir 30 peratus lagi beranggapan mereka tidak akan berupaya mencapai cita-cita kerjaya mereka.
Hampir separuh daripada mereka yang menganggur merasakan pendidikan yang dimiliki tidak membantu mereka memperoleh kemahiran mencukupi untuk mendapat pekerjaan, manakala 68 peratus lagi melaporkan berasa tidak cekap atau tidak yakin dengan kemahiran mereka ketika mencari pekerjaan.
Hasil tinjauan terhadap 5,000 golongan muda itu dijalankan oleh organisasi pendidikan, City and Guilds yang diterbitkan dalam laporan bertajuk ‘Youth Misspent’.
Laporan itu juga mendapati ramai responden mempunyai cita-cita kerjaya yang terlalu tinggi malah hampir tidak realistik, manakala ramai yang lain kecewa dengan keadaan pasaran pekerjaan selepas terdapat hampir 859,000 golongan dewasa yang turut menganggur.
Separuh daripada mereka yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu berkata, mereka menyangka akan memperoleh lebih daripada gaji median UK iaitu 28,000 pound (RM150,168) dalam tempoh lima tahun akan datang, sedangkan sebenarnya 79 peratus daripada semua golongan dewasa bekerja memperoleh kurang daripada 30,000 pound (RM150,168) setahun.
Dalam pada itu, seramai 15 peratus golongan muda berharap untuk bekerja dalam industri seni, hiburan dan rekreasi, tetapi industri itu hanya membentuk dua peratus daripada pasaran buruh tahun ini.
Sebaliknya, hanya dua peratus daripada mereka menginginkan pekerjaan dalam perdagangan borong dan runcit, sedangkan industri itu menyediakan lebih 14 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan di negara ini.
- Utusan
No comments
Post a Comment