PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan 500,000 suri rumah mendaftar sebagai pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun depan, kata Menterinya V. Sivakumar.
Beliau berkata skim itu, yang merupakan cetusan idea bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 2018, mula dilaksanakan pada 1 Dis lepas dan seramai 1,092 pencarum telah mendaftar secara sukarela hingga 8 Dis.
“Bagi mencapai sasaran itu, kita akan pergiatkan aktiviti promosi antaranya melalui sesi libat urus, kempen kesedaran kepada golongan sasar dan sesi taklimat kepada ahli Parlimen agar ia dapat dipromosikan di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada 25 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) yang dapat menjamin kesejahteraan sosial suri rumah, keluarga dan masyarakat menerusi SKSSR.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dipertanggungjawab melaksanakan skim itu bagi tujuan perluasan jaringan keselamatan sosial kepada kumpulan sasar iaitu wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau sebaliknya, merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa.
Ditanya mengenai perbezaan antara SKSSR dengan pelan insurans yang ditawarkan syarikat insurans, Sivakumar berkata skim itu tidak meletakkan syarat utama iaitu perlu bebas daripada sebarang penyakit, malah menawarkan harga caruman serendah RM10 sebulan.
Menurutnya skim itu menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.
“Pencarum hanya perlu membuat bayaran caruman RM120 setahun secara ‘in advance’ untuk menerima perlindungan selama 12 bulan dengan syarat golongan terbabit adalah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun,” katanya.
No comments
Post a Comment