NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPT disaran fokus 4 cabaran pacu sektor pendidikan tinggi



PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu memberi perhatian kepada usaha menangani empat cabaran asas supaya sektor pendidikan tinggi negara bingkas bergerak ke hadapan dalam tempoh pasca pandemik.

Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) mengemukakan pandangan itu menerusi satu memorandum kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, hari ini.

Empat cabaran digariskan iaitu kepemimpinan institusi pengajian tinggi (IPT), pengantarabangsaan, sumbangan universiti kepada negara dan masyarakat serta pengekalan ekosistem dan budaya akademik tulen berasaskan kecemerlangan.

Memorandum terbabit disediakan secara bersama oleh Pengerusinya, Prof Datuk Dr Norzaini Azman; Penasihat, Prof Emeritus Datuk Dr Morshidi Sirat dan Ahli Jawatankuasa PenDaPaT, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Menurut memorandum, usaha berterusan untuk memperkukuhkan kepemimpinan universiti perlu dilakukan supaya IPT dapat dipandu seiring dengan visi, misi dan matlamat penubuhannya.

"IPT mengalami ketandusan barisan pemimpin akademik yang berwibawa peringkat pengurusan tertinggi iaitu (Naib Canselor), pengurusan akademik kanan (Dekan, Pengarah) dan Kepimpinan Akademik (Profesor Berwibawa).

"Terdapat bidang kepakaran atau jabatan yang tidak mempunyai ahli sarjana berwibawa yang belum mencapai status kecemerlangan. 

"Hal ini menyebabkan pusat atau jabatan tidak lagi relevan, tidak mempunyai keterlihatan pencapaian bidang kepakaran walaupun pada suatu masa dahulu ia sudah bertapak dengan baik dan mempunyai status kecemerlangan pada peringkat nasional, malah global," katanya.

PenDaPaT mencadangkan IPT mengambil berat, memperkasa aspek pengurusan bakat akademik secara holistik dan berintegrasi merangkumi aspek pemilihan dan pelantikan bakat terbaik, membangun dan mengasuh bakat, menyediakan pelan pelapis secara jangka panjang serta pengekalan bakat cemerlang;

"Pelan Peralihan (Pelapis) harus meliputi pewarisan jawatan pengurusan, kesinambungan kepakaran – kepemimpinan akademik - profesor serta kepemimpinan pentadbiran.

"Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) perlu distruktur dan peranannya dijajar semula supaya dapat menerajui gagasan kepemimpinan cemerlang di Malaysia dan peringkat ASEAN.

"Skim perkhidmatan ahli akademik sedia ada dikaji semula dan ditambah baik khususnya dalam aspek umur persaraan profesor (pada kebanyakan negara antara 65 hingga 70 tahun). Hal ini penting kerana usia persaraan ahli akademik tidak boleh disamakan seperti penjawat awam lain," katanya.

Pertubuhan itu berkata, bagi cabaran pengantarabangsaan pasca COVID-19 sudah berubah kerana teknologi membolehkan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

"Jadi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) perlu menguar-uarkan kualiti IPT Malaysia di luar negara bagi menyokong usaha IPT dan Education Malaysia Global Services (EMGS).

"Kebajikan pelajar asing perlu diberi keutamaan dan impak positif kepada pelajar dan kakitangan IPT tempatan dalam aspek antara budaya perlu dipupuk. EMGS bersama Jabatan Imigresen (JIM) dan IPT perlu mempunyai sinergi terancang dalam menarik kemasukan pelajar ke Malaysia," katanya.

Bagi cabaran sumbangan universiti kepada negara dan masyarakat, setiap universiti perlu memberi tumpuan kepada bidang tujahan masing-masing dan menentukan projek berjenama bagi menampung keperluan negara dalam pelbagai aspek seperti jaminan bekalan makanan, keusahawanan dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

"Bagi melonjakkan lagi tahap sumbangan universiti menepati keperluan negara dan masyarakat, IPT perlu membangunkan ilmu watan atau kearifan tempatan yang berpaksi dan berfokuskan kepada kepentingan setempat. Penerokaan ilmu watan ini akan membebaskan kebergantungan IPT sepenuhnya kepada ilmu kolonial.


Sumber I BH Online




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo