KUALA LUMPUR: Penulisan veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung ‘gelombang hijau’ didakwa menggambarkan penghinaan DAP terhadap rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khiruddin berkata, pemimpin itu sepatutnya menerima hakikat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah hasrat sebenar rakyat yang mahukan sebuah kerajaan bersih, berlaku tsunami Melayu dan anti-DAP.
“Kit Siang tidak senang jika politik Pas menunjukkan trend kenaikan yang signifikan kerana Pas akan menggagalkan dominasi politik DAP untuk memerintah dan memperkuda pemimpin Melayu menjayakan misi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairil Nizam berkata, lonjakan sokongan sebanyak 44 peratus dan undi popular sebanyak 4.6 juta adalah mandat pengundi yang harus dihormati.
“Perikatan Nasional (PN) menjadi harapan utama kaum Melayu dan bumiputera berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk masa depan politik Malaysia.
“Bagaimana jika kita tafsirkan sokongan pengundi Cina terhadap DAP pula adalah sokongan kepada pembentukan negara yang menyamaratakan hak kaum dan menentang konsep bumiputera seperti yang termaktub dalam Deklarasi Setapak?” soalnya lagi.
Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, sikap paranoia dan Islamofobia DAP bukan sesuatu yang baharu.
Dakwanya, sejak agenda Penyatuan Ummah dilancarkan dua tahun lalu, mereka telah membakar provokasi Talibanisme dan ekstremisme terhadap politik Melayu Islam.
“Mereka menanam doktrin dan strategi bogeyman dalam kalangan orang Cina terhadap Pas,” ujarnya .
Kit Siang dalam tulisannya sebelum ini tidak menyembunyikan kebimbangan apabila melihat jumlah kerusi Parlimen dimenangi Pas, malah dalam tulisan terbaharunya mempersoal sama ada kemungkinan Malaysia bakal menjadi negara Islam sepenuhnya sebelum PRU-17.
“Adakah fenomena ‘gelombang hijau’ yang kuat di Malaysia yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam sepenuhnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 sebelum 2032?” kata Kit Siang dalam laman blognya.
Kit Siang dalam masa yang sama turut memperkecil kemenangan Pas walaupun berjaya memenangi 44 kerusi Parlimen selepas PRU15 dengan mendakwa ia disebabkan strategi kotor parti tersebut semasa berkempen. – UTUSAN
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment