NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Bella: Mahkamah tolak permohonan Siti Bainun gantung bicara bela diri

Mahkamah Sesyen menolak permohonan Siti Bainun untuk menggantung prosiding perbicaraan bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella. - Gambar fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, untuk menggantung prosiding perbicaraan bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian, selepas peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun memohon penggantungan sementara prosiding tersebut, berikutan pihaknya memfailkan notis usul semakan jenayah terhadap keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi pada 25 Nov lepas.
Izralizam dalam penghakimannya berkata permohonan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah, dan tiada keadaan khas atau istimewa untuk menggantung prosiding perbicaraan itu, selain kedua-dua pertuduhan tersebut tidak cacat.
"Dakwaan peguam mengatakan saya tidak mempertimbangkan pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah tidak berasas, kerana fokus utama saya ketika membaca keputusan di akhir pendakwaan adalah sama ada kes prima facie dapat dibuktikan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
"Bagi menentukan kes prima facie dapat dibuktikan bagi setiap pertuduhan, saya perlu meneliti dan membuat dapatan sama ada kedua-dua pertuduhan itu mempunyai elemen yang memenuhi kehendak undang-undang, selaras dengan seksyen yang dipertuduhkan terhadap tertuduh. Oleh itu, permohonan tertuduh untuk menggantung prosiding ditolak," kata Izralizam.
Pada 24 Nov lepas, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Sementara itu, Izralizam membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding bela diri Siti Bainun, yang sepatutnya bermula hari ini.
"Berdasarkan surat untuk penangguhan perbicaraan kes itu, tertuduh dimasukkan ke wad kerana pneumonia (radang paru-paru) dan dikatakan turut menjalani pembedahan hempedu seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut.
"Mahkamah tiada pilihan lain apabila doktor mengesahkan Siti Bainun perlu menjalani rawatan abdomen dan ujian darah, sebelum menetapkan tarikh pembedahan. Namun, ini kes penting, kalau tidak berpuas hati, saya boleh memanggil doktor yang menurunkan tandatangan dan menjelaskan kewajaran memberi cuti sakit (MC). Tarikh bela diri sudah lama ditetapkan oleh mahkamah," kata Izralizam.
Terdahulu, Nur'Aminahtul memaklumkan bahawa, anak guamnya dimasukkan ke hospital pada 28 Nov lepas dan satu surat dikeluarkan oleh doktor pakar bedah semalam bahawa Siti Bainun perlu menjalani rawatan kesihatan (abdomen dan ujian darah) esok, serta tarikh pembedahan hanya boleh ditetapkan selepas rawatan berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan Rabu ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo