Kerajaan akan membincangkan cadangan penetapan harga melalui sistem dua peringkat dan memperkenalkan kupon pembelian minyak masak peket bersubsidi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.
Menurutnya, perkara itu akan dibawa pada mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) minggu depan.
Salahuddin dilaporkan memberitahu pemberita semalam bahawa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan sistem kupon kepada kumpulan B40 dan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membeli minyak masak bersubsidi, yang dijual dalam satu kilogram.
“Pelaksanaan harga minyak masak dua peringkat yang dicadangkan MPOB ini akan diperincikan dan mengambil kira semua aspek.
“Cadangan kupon pula telah dikemukakan menteri sebelum ini tetapi masih belum dilaksanakan.
“Jadi kedua-dua cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat Naccol,” kata Salahuddin, yang dipetik oleh Utusan Malaysia.
Dia berkata demikian selepas sesi libat urus menteri bersama MPOB dan pemain industri minyak masak di Putrajaya.
Sesi itu bertujuan mengenali dengan lebih dekat pemain industri, memahami permasalahan serta mendapatkan data penting sebelum dasar-dasar serta gerak kerja yang inovatif dapat dibangunkan dalam meningkatkan prestasi industri ini di samping membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Awal tahun ini, kerajaan terdahulu mengambil langkah untuk memansuhkan subsidi minyak masak sawit dalam botol 2kg, 3kg dan 5kg.
Ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan subsidi dapat disalurkan kepada penerima yang layak melalui pendekatan yang lebih bersasar.
No comments
Post a Comment