NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kaji fatwa ‘ubat sumber babi’ untuk ibu mengandung, pensyarah beritahu Jakim


NILAI
: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran mengkaji semula fatwa penggunaan ubat pencair darah daripada sumber babi untuk mencegah penyakit darah beku “venous thromboembolism” (VTE) dalam kalangan ibu mengandung.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Zizi Azlinda Mohd Yusof, berkata fatwa sedia ada diputuskan pada 2009 terlalu menyeluruh dan tidak menyentuh secara khusus hukum penggunaan ubat itu ke atas ibu mengandung yang berisiko maut akibat VTE.

“Fatwa itu bolehlah perbaharui semula, bukan untuk halalkan babi atau bukan nak halalkan ubat dibuat daripada babi, tapi mengharuskan untuk ibu mengandung (ambil ubat ini), kerana pembunuh utama sekarang dinyatakan Jabatan Perangkaan adalah penyakit darah beku.

“Saya bukan doktor perubatan, tapi kebetulan ini adalah kajian PhD saya pada 2020. Saya akan guna bahasa mudah faham, sesetengah wanita akan ada segumpal atau serpihan darah di betis mereka atau di kapilari darah yang bergerak secara perlahan tanpa sedar dan pergi ke jantung.

Zizi Azlinda Mohd Yusof.

“Kemudian terus blok saluran pernafasan. Itu dinamakan gejala ‘pulmonary embolism’ iaitu jantung dah tersekat dengan gumpalan darah dan waktu itu akan berlaku kematian mengejut,” katanya kepada FMT.

Jabatan Perangkaan melaporkan pada 2021 penyakit darah beku adalah pembunuh utama ibu mengandung iaitu sebanyak 18.8%, menurut Zizi.

Beliau menjelaskan, terdapat tiga jenis pencair darah di pasaran iaitu bersumberkan babi (Porcine), lembu (Bovine) dan bahan kimia sintetik (tiada unsur binatang).

Namun, kajian klinikal di seluruh dunia mendapati pencair darah daripada sumber babi paling berkesan dan tidak membahayakan ibu serta bayi dalam kandungan.

Ubat pencair darah bersumberkan sel tisu babi dikategorikan sebagai Low Molecular Weight Heparin (LMWH) dan contoh di pasaran ketika ini adalah Clexane.

Malah, dalam buku garis panduan klinikal Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan LMWH sebagai pilihan utama untuk langkah pencegahan terhadap ibu mengandung yang berisiko.

“Ia tak ganggu keselamatan bayi dalam perut. Kalau ikut kajian saintifik dan jurnal akademik, kajian dilakukan di seluruh dunia dan hasilnya ubat ini tak beri kecacatan kepada bayi.

“Manakala ubat pencair darah dari sumber lembu (heparin) boleh rawat penyakit darah beku cuma kesan langsungnya yang tidak digemari oleh pakar perubatan adalah ia menyebabkan pendarahan teruk kepada ibu,” katanya.

Unsur babi

Ubat yang bebas sumber binatang contohnya Arixtra antara yang dibuktikan secara klinikal berisiko mencacatkan bayi dalam kandungan.

“Bila berkait dengan babi, ia sesuatu yang sensitif di Malaysia, jika nak dapat halal dari apa-apa skim, farmaseutikal, pemakanan, kosmetik, memang tidak akan diluluskan sekiranya ada sikit pun unsur babi.

“Walhal dah berlaku transformasi bio iaitu dalam istilah fiqah kita sebut istihalah. Istihalah adalah perubahan dari sesuatu kepada sesuatu yang lain.

“Bila masuk dalam makmal, dah tak jumpa DNA babi walaupun dibuat daripada babi. Cuma di Malaysia kita pegang Mazhab Syafie. Mereka tak kisah DNA babi ada ke tak, protein babi tu ada ke tak, asalkan bahan mentah itu ada babi maka sampai ke sudah ia babi juga. Ubat itu tetap haram,” kata Zizi.

Ketika menyiapkan tesis PhDnya, Zizi merujuk kitab fiqah, sesi temubual dengan 21 pakar termasuk syariah (UIA, USM, UKM), pakar perubatan (Obstetrik & Ginekologi, Kardiovaskular, Hematologi dan Farmaseutikal) membabitkan dua mufti (Terengganu dan Pulau Pinang).

“Saya tak kata tesis ini yang terbaik. Ini adalah sumbangan akademik saya. Saya bukan pelajar perubatan tapi bidang saya adalah fiqah medik dan fatwa halal. Saya tak lihat dari segi nak jadikan ia polisi negara. Kami para akademik kaji apa jurang yang diperlukan oleh masyarakat.

“Doktor yang tak ada latar belakang syariah akan keliru, bila sebenarnya waktu darurah? Nak ukur macam mana? Adakah bila sikit lagi nak mati atau pencegahan itu dikira darurah? Ibu pula (yang berisiko) takut nak ambil (ubat ini), jika abaikan terus ia akan berakhir kematian.

“Kita dakwa kita adalah agama yang memudahkan dan menjaga nyawa dari segi maqasid. Jadi, mana pertimbangan bijak sebenarnya lebih kontemporari yang sesuai dengan (masalah) kita hari ini?,” soalnya.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo