NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet PH ikut strategi The Dirty Dozen?

The Dirty Dozen

Dirty Dozen ialah sebuah filem yang dibintangi oleh bintang-bintang hebat Hollywood, antaranya Lee Marvin, Charles Bronson, Telly Salvalas dan ramai lagi. Cerita yang diterbitkan sekitar tahun 67 itu, adalah bercorakkan aksi perang. Ia berkisar tentang perang dunia kedua yang mana British menentang pasukan tentera Jerman.

Pada waktu perang dunia kedua itu, British terdesak untuk menang. Mereka mencari askar-askar bagi menguatkan tentera mereka. Serangan tentera Jerman sangat hebat. Ramai yang sudah menjadi korban dan bagi mengelakkan lebih banyak lagi nyawa orang awam dan askar melayang. Salah satu idea ialah mereka mencari banduan-banduan tentera.

Banduan-banduan yang mereka ambil ialah banduan yang mempunyai rekod jenayah yang berat. Boleh dikatakan semuanya menunggu hukuman mati sahaja. Jadi, Kerajaan British memberikan tawaran, jika berjaya menjalani operasi sulit itu, mereka akan dibebaskan. Maka dicarilah banduan itu seramai 12 orang bagi menubuhkan skuad itu.

Setelah beberapa ujian dijalankan, maka 12 orang itu memenuhi kriteria skuad. Lalu dilatih dan diajarlah mereka berkenaan ilmu peperangan. Pasukan mereka sebenarnya adalah projek rahsia Kerajaan British. Dan pada satu pertandingan tempur The Dirty Dozen dicabar menewaskan skuad elit askar British, mereka berjaya mengalahkan tentera elit dengan berbagai tipu helah dan menawan ketua tentera elit itu.

Sehingga mereka mencapai peringkat itu, mereka, walaupun penjenayah, semua sudah bersatu hati, menjadi pasukan yang kuat. Ketua skuad The Dirty Dozen lakonan Lee Marvin, telah berjaya merapatkan semua ahli Dirty Dozen. Kejayaan mereka dalam pertandingan perang dengan kelicikan mereka itu adalah kerana mereka, majoritinya pernah melakukan kerja-kerja jahat. Jadi mereka sudah biasa dengan keadaan itu dan harus diingat, mereka adalah bekas askar.

Apabila tiba waktu operasi sebenar, mereka telah dihantar ke sebuah tempat di Perancis untuk menyerang tentera Jerman, mereka telah menghafal semua perkara yang perlu dibuat. Namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana sewaktu penerjunan dibuat, ada seorang rakannya mati terlekat di atas pokok. Tetapi 11 lagi dari mereka semua yang masih hidup, berjaya ke tempat sasaran mereka.

Dengan kebolehan bertutur dalam Bahasa Jerman dan menyamar sebagai pegawai tentera Jerman, Charles Bronson berjaya memasuki bangunan tentera Jerman. Setelah pengepungan dijalankan mengikut perancangan, akhirnya mereka berjaya menggempur bangunan itu dan membunuh ramai pegawai tentera Jerman. Daripada 12 orang, hanya tiga yang berjaya keluar dengan selamat dari operasi khas itu.

Dikatakan filem ini adalah adaptasi dari kisah benar, bagaimana orang jahat berjaya menumpaskan orang jahat yang lain, jika kena dengan caranya. Penjahat ini sudah tahu selok belok kejahatan yang boleh dibuat penjahat lain dalam sesuatu bidang itu, maka mudahlah dia memintasnya. Seperti British yang menggunakan bangsa Melayu sendiri dalam menjadi kuda tunggangan untuk melemahkan Melayu.

Dan ia samalah juga jika kita bekerjasama dengan perasuah bagi menghapuskan kes-kes rasuah yang sedang dan akan berlaku. Jadi, melantik perasuah dalam pasukan kita untuk tujuan itu, ia adalah satu tindakan yang sangat baik. Kerana perasuah mesti tahu, bagaimana rasuah itu boleh berlaku dan bagaimana untuk dihapuskan.

Melantik perasuah dan golongan yang seumpamanya itu bagi menghapuskan rasuah adalah diklasifikasikan sebagai operasi sulit sesebuah organisasi. Tidak boleh diketahui umum. Nanti orang tahu, payahlah, kan? Biasanya dalam operasi, perasuah tidak akan makan rasuah. Kalau luar operasi, mungkinlah dia makan rasuah. Orang yang mengkritik, bukan tahu apa-apapun. Bising jer lebih. Kita nak hapuskan rasuah dengan cara kita sendiri, dia orang pula menyibuk.

Mohd Nasir Abdullah
4 Disember 2022

*Foto dari World of entertainment




( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo