NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet Kerajaan Anwar: 'Biar Anwar umumkan esok' - Salahuddin


KUALA LUMPUR:
Ketika teka-teki mengenai senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan masih samar, Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub seolah-olah memberi gambaran kemungkinan pengumuman mengenainya akan dibuat seawal esok.

"Saya pilih untuk tidak komen tentang ini (senarai Kabinet)...biar Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan esok seperti yang dilaporkan," katanya ringkas.

Terdahulu, spekulasi timbul kononnya Perdana Menteri akan mengumumkan senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan seawal hari ini atau esok. Namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya diterima daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Sebaliknya, PMO mengeluarkan senarai pergerakan Anwar yang akan kembali ke Tambun esok, kali pertama selepas lapan hari dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mengambil kira jadual itu, Anwar akan berada di Ipoh dan hanya kembali ke Putrajaya pada sebelah petang iaitu selepas menghadiri kenduri rakyat sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Jati.

Justeru, tidak mustahil untuk Anwar mengumumkan senarai Kabinet pentadbiran beliau esok, atau jika ia tidak berlaku maka mungkin minggu depan sahaja.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, juga dijangka ke luar negara Sabtu ini.

Dalam pada itu, Salahuddin ketika ditanya lanjut mengenai pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan, berkata mana-mana ahli Parlimen termasuk dirinya menyerahkan birokrasi itu kepada Anwar untuk memilih barisan jemaah menteri.

"Saya masih tidak tahu. Saya dan Chin Tong (Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong) serahkan kepada Perdana Menteri untuk pilih yang terbaik antara kami (ahli Parlimen)...jadi biar beliau (Anwar) putuskan," katanya.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Johor menziarahi mangsa ribut di kawasan Parlimen Pulai. Turut sertai Chin Tong yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Perling.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.

Sejak itu pelbagai spekulasi dibangkitkan mengenai anggota Kabinet diterajui Anwar termasuk mengenai dua jawatan timbalan perdana menteri yang dikatakan akan diberikan kepada wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo