BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan terus melangkah ke hadapan berjuang dan enggan menuding jari menyalahkan sesiapa mahupun parti.
Menerusi hantaran di Facebook, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau adalah seorang pejuang dan akan tetap istiqamah dalam perjuangannya bersama UMNO.
“Sejak keputusan PRU15, saya kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan tanpa berada dalam Kabinet. Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya.
“Saya tahu kerajaan baru ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara.
“Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa. Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan beliau sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman untuk melihat mood serta sentimen rakyat terhadap sokongan yang diberikan.
Katanya, penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti.
“Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.
“Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” katanya.
Dalaman UMNO terus tegang, terbaharu tiga pemimpin bahagian dipecat serta-merta antaranya kerana lantang mengkritik Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment