ALOR SETAR: Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan pemilikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) RM400 juta disifatkan tidak benar.
Shahidan turut mempersoal
tindakan Anwar yang mendedahkan hanya beberapa nama terlibat dalam
pembelian saham berkenaan selain mengumumkan secara terbuka butiran
syarikat itu yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
Menurutnya,
penjelasan berhubung isu berkenaan hanya akan dilakukan kemudian dan
kemungkinan dalam persidangan Parlimen akan datang.
“Saya tidak ada saham dalam Bernas, pemilik Bernas yang perlu jawab isu terbabit.
“Pendedahan
Anwar itu tidak benar. Insya-Allah saya akan berikan jawapannya di
Parlimen nanti. Sepatutnya Anwar beri perhatian pulihkan negara
berbanding korek hal-hal seperti itu. Kalau nak korek, korek semualah
sebab Bernas syarikat yang disenaraikan, ini ialah pembelian saham dalam
syarikat yang disenaraikan, apa kesalahannya?,” katanya ketika
dihubungi di sini pada Rabu.
Pada Isnin, Anwar
menegur Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang didakwa mempunyai monopoli
terhadap import beras. Anwar turut dedahkan Syed Mokhtar telah membeli
Bernas daripada Tan Sri Tan Boon Seng sebanyak 31 peratus (sekitar RM800
juta) dan RM400 juta daripada syarikat milik Shahidan.
Bagaimanapun
Shahidan mempersoal kewajaran Anwar yang bertindak hanya menyebut
namanya sedangkan terdapat lebih 1,000 syarikat disenaraikan.
“Beli
saham dalam pasaran perlu cerita semuakah? Sebut semualah, kenapa hanya
nama saya diberikan perhatian. Bukan setakat tidak benar tetapi
bolehkah Perdana Menteri ceritakan pembelian saham dalam syarikat
disenaraikan secara terbuka?
“Saya sedang
dapatkan nasihat perundangan sebab ini ialah syarikat disenaraikan,
apakah boleh syarikat disenaraikan kita bincang secara terbuka. Kalau
ya, saya ingat eloklah cerita semua syarikat yang ada,” soalnya lagi.
Menurutnya, pendedahan tersebut juga telah mengaibkan dirinya kerana merupakan suatu tuduhan tidak tepat.
“Saya
nak bagi tahu tuduhan tersebut tidak benar, ia melibatkan sebuah
syarikat kerajaan yang diswastakan dan adalah syarikat yang
disenaraikan. Pembelian saham bukan ada hubung kait dengan kerajaan.
“Siapa
yang hisap duit rakyat? Bernas tak hisap duit rakyat, Bernas hanya
berniaga. Isu ini merugikan masa saya, sepatutnya saya fokus kepada
masalah rakyat dan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) yang luar biasa,”
ujarnya.
Shahidan turut menasihatkan agar Anwar memberi tumpuan kepada usaha untuk membela rakyat berbanding isu seumpama.
“Perkara
itu melibatkan perundangan dan sebuah syarikat yang disenaraikan,
perkara berlaku sudah berpuluh tahun. Kenapa saya yang dipersalahkan,
sekarang bukan saya tuan punya Bernas.
“Perlukah
saya jawab isu Bernas? Tanyalah pemilik sekarang sebab beliau beli
saham yang disenaraikan, bukan (milik) saya seorang tetapi ramai
(pemilik), jadi tak betul lah tuduhan itu,” tegasnya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment