NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Honda jenama paling dipercayai di dunia

LONDON: Jenama popular Jepun, Honda dinamakan sebagai pengeluar kereta paling dipercayai dalam laporan terbaharu analisis kerosakan, kos pembaikan dan prestasi pemanduan pengeluar utama di seluruh dunia tahun ini.

Honda menerima 96.8 mata dalam Indeks Kebolehpercayaan penyedia jaminan lanjutan, Warrantywise berdasarkan data untuk lebih 131,000 kereta yang dipandu di Britain.

Reputasi Honda sebagai jenama paling dipercayai terus kukuh di tangga teratas selepas model Honda Jazz dinamakan sebagai kereta terpakai paling dipercayai tahun ini.

Toyota menduduki tempat kedua dengan 91.2 mata diikuti oleh Suzuki dan Kia, dengan Hyundai melengkapkan senarai lima teratas yang dikuasai negara Asia Timur.

Fiat, Citroƫn dan Renault mewakili tempat keenam hingga kelapan, sekaligus membantu menghilangkan prasangka bahawa jenama Eropah juga mempunyai jenama kenderaan yang paling dipercayai.

Mazda dan Ford masing-masing menduduki tempat kesembilan dan kesepuluh.

Ketua Pegawai Eksekutif Warrantywise, Lawrence Whittaker berkata, amat penting untuk memikirkan tentang tahap kebolehpercayaan ketika memilih kereta untuk dibeli dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat kini.

“Dengan mengumpulkan semua data ke dalam indeks seperti ini, kami dapat membantu pelanggan kami membuat keputusan bijak terutamanya ketika memilih kereta terpakai bagi mengurangkan bebanan mereka,” jelasnya.

Indeks tersebut memberikan setiap jenama kereta jumlah skor berdasarkan beberapa faktor termasuk kos pembaikan, kekerapan menghadapi masalah dan kiraan hari berada di garaj untuk dibaiki.

Data tersebut hanya mewakili kereta yang berada di luar jaminan pengeluarnya dengan usia minimum untuk sampel ialah tiga hingga 10 tahun.

Dalam pada itu, Porsche dinamakan sebagai jenama pengeluar kereta paling tidak boleh dipercayai selepas mendapat 35.1 mata dalam indeks berkenaan.

Menyertai Porsche di tempat kedua adalah Land Rover dengan 40.2 mata sementara Jaguar di tempat ketiga dengan 48.2 mata manakala Alfa Romeo di keempat dengan 52.4 mata dan Audi di tempat kelima dengan 58.6 mata.

Jenama BMW dan Mercedes masing-masing di tangga keenam dan ketujuh bersama Vauxhall, Volvo dan Mitsubishi yang turut tersenarai dalam sepuluh ranking kenderaan paling tidak boleh dipercayai oleh Warrantywise. 

Menurut Whittaker, walaupun Porsche berada di tangga teratas, Land Rover memegang rekod kos pembaikan tertinggi sebanyak 23,889 pound (RM128,806), hampir menyamai harga sebuah Volkswagen Golf baharu.-AGENSI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo