PETALING JAYA: Pengarah berkaliber, Datuk Yusof Haslam meminta pihak kerajaan mengkaji semula harga yang ditawarkan stesen penyiaran kepada penerbit dan pengarah yang menghasilkan drama.
Beliau menjelaskan, tawaran harga sepatutnya dikaji balik setiap 10 tahun dan perlu ada peningkatan pada kadar tertentu supaya produksi tidak menjadi mangsa.
Ini kerana, katanya tawaran harga ketika ini dikatakan masih berada pada takuk lama memberi cabaran besar kepada penerbit yang menghasilkan drama untuk stesen televisyen.
“Setiap sedekad perlu ada peningkatan. Ketika 1983, saya dibayar RM600 untuk berlakon watak utama bagi drama bersiri di RTM. Bayaran itu ibarat RM3,000 sekarang.
“Harga itu tidak pernah naik sampai sekarang dan sudah tentu sangat menyedihkan. Harga ini seperti zaman saya berniaga roti canai 30 sen dan bayar gaji kerani RM300. Memang saya pernah suarakan isu ini ketika jadi Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), tetapi tiada respons,” katanya.
Menurut Yusof, penerbit dan pengarah juga terpaksa bersaing dengan kemunculan platform premiun, Over The Top (OTT) yang berupaya menawarkan harga tinggi kepada pelakon.
“Kalau OTT, dia boleh bayar pelakon RM5,000 untuk satu episod. Kalau berlakon di televisyen, sudah tentu mereka meminta bayaran sama. Dalam hal ini, artis juga perlu bertolak ansur dengan soal bayaran.
“Secara kasar, bayaran yang diterima penerbit daripada stesen TV sudah tidak relevan, tetapi ini adalah survival kami. Walaupun untung kecil, kami akan teruskan juga buat drama,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof juga menempelak dakwaan mengatakan penerbit drama ‘membuat duit’ dan sentiasa mengaut keuntungan bagi setiap projek yang dihasilkan.
“Nak tahu kaya atau tidak, buatlah drama. Ada artis buka syarikat produksi buat drama TV dan selepas itu mengeluh apabila teruk tanggung rugi. Saya cakap padan muka.
“Kau dulu banyak merungut. Bayangkan kalau buat cerekarama bajet dalam RM100,000, tetapi perbelanjaan sebenar perlu dikeluarkan penerbit adalah RM110,000,” sindirnya.
No comments
Post a Comment