BORNA Barisic (kanan) ketika menjalani latihan bersama pasukan Croatia pada kempen Piala Dunia 2022 di Al Erssal, Doha.
DOHA: Kehadiran Borna Barisic dalam skuad Croatia bukan sahaja menghadirkan rasa gerun buat lawan dalam Piala Dunia Qatar kali ini, tetapi turut mencetus ketakutan kepada rakan sepasukan dan barisan kejurulatihannya sendiri.
Tonggak pertahanan Rangers itu adalah anak ketua mafia terbesar di Croatia, Stipe Barisic yang digelar ‘Si Rama-Rama’.
Pengendali Croatia, Zlatko Dalic merasakan tekanan yang cukup tinggi untuk menurunkan pemain itu kerana sukar menegurnya jika terdapat kesilapan dilakukan di atas padang.
Rakan sejawat Dalic, Zdravko Mamic yang membimbing kelab Dinamo Zagreb mendapat pengajaran daripada bapa Barisic apabila kakinya ditembak susulan sengaja menghalang perpindahan Barisic ke kelab baharu pada 2017.
Stipe ditahan pihak berkuasa dan dikenakan hukuman penjara 18 bulan, bersama tiga lagi individu yang melakukan serangan terhadap Mamic.
Sebelum itu Ketua Peguam Negara Croatia, Radov Ortynski turut menerima padah apabila rumahnya dibakar, yang menyaksikan Stipe dipenjara 10 bulan.
Sekali pun memilih untuk tidak menurunkan Barisic apabila bertemu Jepun pada pusingan 16 akhir esok, Croatia dijangka tidak menghadapi masalah kerana semua pemainnya bebas daripada kecederaan, termasuk bekas pemenang Ballon d’Or, Luka Modric.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam Piala Dunia adalah pada edisi 2006 dan perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan.
“Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar tetapi Croatia akan memastikan Jepun berdepan kesukaran kerana kami lebih konsisten,” kata Dalic. – AGENSI
No comments
Post a Comment