NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FIFA 2022 : Nasib Korea dihujung tanduk

DOHA: Portugal sudah pun mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 dan hanya memerlukan satu mata menentang Korea Selatan untuk menjamin mereka menduduki tempat teratas Kumpulan H.
Dengan mengutip mata penuh dalam dua perlawanan, semuanya dalam keadaan baik buat Portugal dan mereka akan mengharapkan dapat menambah mata menentang Korea Selatan yang bergelut meraih kemenangan.

Korea Selatan memerlukan kemenangan malam esok untuk menjamin tempat mereka ke peringkat kalah mati, namun dalam masa sama mengharapkan Ghana untuk kehilangan mata ketika menentang Uruguay.

Sekiranya Ghana dan Uruguay seri dalam perlawanan yang berlangsung serentak malam esok, maka Korea Selatan perlu menewaskan Portugal dengan dua gol tanpa bolos untuk mara.

Namun, jika Uruguay menewaskan Ghana, dan Korea Selatan juga menang, ia akan bergantung kepada perbezaan gol jaringan dan jumlah bolos yang berlaku dalam perlawanan terakhir Kumpulan H.

Tugas berat buat Korea Selatan kerana mereka akan bermain tanpa ketua jurulatih mereka, Paulo Bento di tepi padang selepas dilayangkan kad merah ketika tamat perlawanan menentang Ghana Isnin lalu.

Bento terlibat dengan pertengkaran dengan pengadil Anthony Taylor kerana keputusan pegawai pertandingan itu meniup wisel penamat ketika Korea Selatan mendapat sepakan sudut dan tugasnya akan diambil alih oleh pembantunya, Sergio Costa.

Kapten Korea Selatan, Son Heung Min dijangka terus diberikan kepercayaan mengetuai misi merobek gawang Portugal dan dia sebelum ini telah bermain dua perlawanan dengan memakai topeng pelindung muka.

Ketika Heung Min dikawal ketat menentang Uruguay dan Ghana, penyerang, Cho Gue Sung muncul sebagai wira baharu dengan menjaringkan dua gol dalam penampilan pertamanya di Piala Dunia.

“Tidak perlu diragui kebolehannya. Dia terus meningkat dan dia telah bermain dengan baik dan dapat menyerap gaya permainan kami.

“Kami sudah lama memerhati perkembangannya. Saya gembira dia dapat mempamerkan bakatnya dalam dua perlawanan di sini,” kata Bento.

Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata, dia tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utamanya ketika menentang Korea Selatan walaupun pasukannya telah layak ke peringkat kalah mati.

“Misi kami tetap sama sebelum bermain perlawanan pertama lagi, hanya kemenangan yang boleh memberikan kegembiraan kepada pasukan dan juga peminat kami yang datang jauh ke Qatar,” katanya. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo