DOHA – Ketua Jurulatih Belgium, Roberto Martinez membuat keputusan melepaskan jawatan selepas pasukan kendaliannya tersingkir di peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia kali ini selepas terikat tanpa jaringan menentang Croatia awal pagi semalam.
Pengendali berusia 49 tahun itu sudah mengemudi Belgium sejak 2016 dan kontraknya semasanya berakhir sebaik kempen kali ini berakhir.
“Ini adalah perlawanan terakhir bersama Belgium, saya tidak mampu lagi untuk teruskan tugas ini. Ini adalah masa untuk saya menerima kenyataan bahawa masa saya bersama pasukan ini sudah berakhir.
“Sejak 2018 lagi saya berpeluang untuk meninggalkan pasukan ini dan kembali menguruskan kelab, tetapi saya memilih untuk setia dan menunggu sehingga kontrak berakhir,” kata Martinez.
Martinez berjaya mengemudi Belgium meraih tempat ketiga pada saingan Piala Dunia 2018 di Russia sebelum membawa pasukan itu mara ke suku akhir Euro 2020 pada tahun lalu.
Dalam pada itu, pemain pertahanan Belgium, Timothy Castagne menggesa semua pihak tidak menyalahkan penyerang, Romelu Lukaku ekoran kegagalan tersebut biarpun pemain berkenaan berjaya mendapat beberapa peluang terbaik.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana dia (Lukaku) beraksi untuk mendapatkan peluang seperti itu, dia juga melakukan gerakan dan mengawal bola dengan baik.
“Mungkin jika dia tidak be rada dalam aksi kali ini, kami juga tidak mempunyai peluang tersebut. Saya tidak fikir cara yang paling baik meletakkan kesalahan di bahunya, dia sudah memberikan segala-galanya. Jika ini kegagalan, kami perlu menerimanya,” jelasnya. – AFP
No comments
Post a Comment