MESSI meraikan gol jaringannya dalam pertemuan dengan Australia di peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2022.
Dalam aksi di Stadium Ahmad Bin Ali itu, Lionel Messi yang mengetuai jentera serangan meletakkan skuad La Albiceleste di hadapan pada minit ke-35 selepas berjaya menyudahkan hantaran satu dua menarik di dalam kotak penalti Australia.
Jaringan Messi itu kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan untuk kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, Australia cuba bangkit dengan corak permainan lebih kemas namun, mereka dihampakan kekebalan barisan pertahanan Argentina yang berjaya mematahkan beberapa gerakan bahaya yang direncanakan.
Pada minit ke-57, skuad The Socceroos sekali lagi dihukum menerusi jaringan kedua Argentina melalui Julian Alvarez selepas penjaga golnya, Mathew Ryan melakukan kesilapan mudah apabila gagal mengeluarkan bola dalam kawasan bahaya.
Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Graham Arnold cuba bangkit dan hasilnya mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi Craig Goodwinn pada minit ke-77 selepas rembatannya terkena pemain pertahanan Argentina sebelum bola membias tepat ke gawang bagi menewaskan Emiliano Martinez.
Percubaan bertali arus Australia pada minit-minit terakhir gagal membuahkan hasil sehingga wisel penamat dibunyikan untuk keputusan kekal 2-1 berpihak kepada Argentina.
Kemenangan itu juga menyaksikan Argentina akan berdepan Belanda di peringkat suku akhir pada 9 Disember ini selepas skuad Louis Van Gaal menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1 dalam perlawanan terdahulu.-Agensi
No comments
Post a Comment