NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fasarina-Dewan Perniagaan Usahawan Sabah meterai MoU pasarkan produk PKS di Labuan



LABUAN, 4 Dis (Bernama) -- Fasarina Express Mart yang berpangkalan di Labuan telah mengembangkan perniagaan daripada kedai runcit kepada kedai serbaneka sehenti yang menawarkan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari Sabah serta pulau bebas cukai itu sendiri.

Pengasasnya Fauziah Datuk Mohd Din berkata Fasarina Express Mart tidak boleh bersaing dengan kedai runcit dan pasar mini lain, sebaliknya perlu tampil sebagai kedai serbaneka yang menyediakan segmen produk berbeza.

“Kita lihat barangan daripada PKS Sabah dan Labuan merata-rata di banyak kedai runcit dan pasar mini, namun, tidak diletakkan dengan sewajarnya untuk menarik minat pelanggan.

“Sehubungan itu, kami mengambil inisiatif ini untuk mempromosi dan memasarkan produk daripada usahawan tempatan kita,” katanya kepada Bernama selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Perniagaan Usahawan Sabah di Fasarina Express Mart, Jalan Patau-Patau hari ini.

Pemeteraian MoU itu yang bertujuan menjalin kerjasama untuk memasarkan produk PKS Sabah di Labuan, disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah Tseu Kei Yeu.

Fauziah berkata lebih 200 produk ditawarkan di Fasarina Express Mart dan Melati Inn di pusat bandar dengan lebih 90 peratus produk dari Sabah manakala selebihnya dari Labuan.

“Kami menjual produk kering dan segera PKS serta produk sejuk beku siap dimasak,” katanya.

Sementara itu, Tseu berkata sejak 2020 sehingga kini, produk PKS Sabah menjana jualan sebanyak RM5.4 juta dari pasar raya besar Bataras Sdn Bhd dan RM735,221 di Kedai Mesra PETRONAS.

“Kami berharap agar kerjasama di antara Fasarina Express Mart dengan dewan perniagaan ini akan mencatat satu lagi kejayaan penting kepada produk PKS Sabah di pulau bebas cukai ini,” katanya.

-- BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo