NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP, Dong Zong mula tunjuk taring – Berjasa

KUALA LUMPUR – Gesaan DAP melalui konconya Dong Zong untuk melaksanakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di peringkat nasional dilihat sebagai tindakan yang sangat gelojoh.

Desakan itu juga membuktikan parti dan NGO berkenaan sanggup berbuat apa sahaja demi menjulang agenda mereka.

Setiausaha Agung Parti Berjasa, Zulkifli Yahya berkata, lebih lebih 60 tahun UEC tidak mendapat hak pengikitirafan di Malaysia kerana silibusnya bertentangan dengan sistem Kementerian Pendidikan.

“Sejak merdeka 1957, kerajaan menyeru agar semua sekolah termasuk sekolah agama dan sekolah Cina melakukan penyerahan tanah, aset dan semua hak terhadap harta sekolah kepada kerajaan.

“Sebagai balasan, segala pembiayaan berkaitan pembangunan dan sukatan pembelajaran akan diselia penuh oleh kerajaan.

“Namun, terdapat segelintir masyarakat Cina yang menentang usaha ini kerana dilihat sebagai satu ancaman akibat penyerahan hak secara total kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, golongan itu memilih untuk bergerak sendiri dan tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha penyatuan sistem pendidikan kerajaan.

Dong Zong, misalnya yang ditubuhkan sejak 1954 telah menjadi jurucakap pendidikan kaum Cina yang disambut oleh parti politik seperti MCA, DAP dan Gerakan untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Sedangkan, katanya, sistem pendidikan nasional sedia ada sudah berjaya menerapkan budaya rakyatnya, menjulang prinsip tersendiri serta mengangkat martabat negara sebagai satu identiti masyarakat majmuk.

“Mengapakah sistem pendidikan luar perlu dibenarkan masuk secara rasmi ke dalam kancah pendidikan negara? Saya yakin seribu satu alasan mampu diutarakan oleh DAP dan konconya.

Namun, harus diingat sistem pendidikan negara tidak pernah mendiskriminasi kaum jauh sekali menghalang pembelajaran bahasa ibunda kaum lain.

“Bangsa Melayu telah banyak bertoleransi demi keamanan dan kemakmuran masyarakat majmuk yang dijadikan sebagai identiti nasional,” ujarnya.

Namun, Zulkifli mengingatkan, jangan kerana sifat toleransi itu memakan diri sendiri kerana hanya merugikan anak bangsa generasi masa hadapan.

Kata beliau, perpaduan yang diimpikan akan wujud sekiranya semua pihak menggunakan sistem pendidikan yang satu sebagai sebuah medium perpaduan nasional. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo