NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Clare akan kemuka representasi batal pertuduhan fitnah Sultanah Terengganu

KUALA LUMPUR – Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Guok Ngek Seng yang mewakili Clare ketika dihubungi berkata, representasi itu akan dikemukakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober lalu yang menolak saman fitnah RM300 juta dikemukakan oleh Sultanah Terengganu itu dan dua pihak lain terhadap anak guamnya.

“Representasi itu akan dihantar kepada AGC minggu ini,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee memutuskan Clare dan dua lagi tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak, Vinlin Press Sdn. Bhd.

Mahkamah Tinggi di sini, sepatutnya mendengar permohonan Clare untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini, kerana mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

Ini kerana pengadu dalam kes jenayah terhadap dirinya adalah Sultanah Terengganu sendiri yang memfailkan saman terhadapnya.

Bagaimanapun, permohonan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan ditangguhkan berikutan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu sedang bercuti sakit.

Berikutan itu, prosiding pengurusan kes di hadapan Catherine kemudian menetapkan permohonan didengar pada 2 Februari depan.

Pada sesi tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Nur Haslinda Che Seman mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Tiaw Poh Nee mewakili Sultanah Nur Zahirah.

Sementara itu, Nur Haslinda memaklumkan, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu telah menetapkan tarikh perbicaraan pada Januari depan.

Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah melalui buku itu.

Pertuduhan terhadap Clare dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Sementara pada 12 Ogos lalu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Clare untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan.

“Permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dibuat mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964. Ini hanya boleh dilakukan selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (daripada Mahkamah Majistret),” kata Hakim Mohamed Zaini.

Hakim Mohamed Zaini ketika itu turut menyatakan, kes jenayah membabitkan Clare masih berada di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tertuduh masih belum didakwa secara bersemuka. – KOSMO! ONLINE

Komen : Lepas ni mudahlah Claire nak bergerak dalam Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo