Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dia tidak bersedia untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes Shahrir Samad hari ini tanpa kehadiran peguamnya.
Najib, 69, yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 berkata dia tidak bersedia memberikan keterangan secara lisan tanpa kehadiran Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai peguam pemerhati.
“Saya mohon keterangan saya diberikan pada 5 Jan depan dan pada masa itu peguam saya (Muhammad Shafee) ada kerana adalah penting untuk peguam saya ada bersama saya.
"Dia (Muhammad Shafee) berada di luar bukan di Kuala Lumpur, jadi dia tidak dapat hadir hari ini,” kata Najib yang hadir memakai sut berwarna biru.
Najib berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas presiden Umno berkenaan melalui sekeping cek AmIslamic Bank Bhd bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memohon pertimbangan daripada mahkamah kerana Najib tidak dapat memberikan keterangan tanpa kehadiran peguamnya.
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir tidak membantah perkara itu.
Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian memerintahkan Najib hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangannya pada 5 Jan depan.
Perbicaraan kemudian bersambung dengan saksi pendakwaan ke-22, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurzahidah Yacop disoal balas pihak pembelaan.
Shahrir, 73, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bekas Pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke akaun bank miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Bernama
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment