ULAANBAATAR: Beribu-ribu orang berhimpun dalam keadaan suhu beku di ibu negara Mongolia untuk membantah dakwaan rasuah dalam industri arang batu negara dan inflasi yang melambung tinggi.
Penunjuk perasaan, kebanyakannya anak muda, berhimpun di Dataran Sukhbaatar Ulaanbaatar iaitu rumah kepada Istana Kerajaan dalam suhu -21 darjah Celsius semalam bagi menuntut keadilan terhadap pegawai yang mengambil rasuah dan dipecat dari Parlimen.
Papan tanda jelas menunjukkan perkataan 'Tolong kami negara kami sedang runtuh'. Penunjuk perasaan iaitu pengembala, Enkh Amidral, berkata mereka pergi ke ibu negara untuk menyertai protes supaya kerajaan menghukum 'pencuri'.
"Mereka seolah-olah lupa apa yang mereka janjikan kepada kami iaitu kehidupan yang lebih baik. Mereka sepatutnya membuat keadaan lebih baik.
"Tetapi mereka tidak melakukan apa-apa, mengambil wang kami, mengisi perut mereka sendiri," kata pelajar, Bayarmaa.
Sementara itu, polis menggesa orang ramai untuk bersurai menjelang jam 9:00 malam (waktu tempatan) ketika suasana menjadi tegang dan pergelutan berlaku dengan penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan kecewa dengan ekonomi negara yang teruk, inflasi melonjak kepada 15.2 peratus susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Namun, kemarahan orang ramai juga dicetuskan oleh dakwaan pemberi maklumat bahawa apa yang dipanggil 'puak arang batu' penggubal undang-undang yang mempunyai hubungan dengan industri itu telah mencuri batu sedimen bernilai berbilion dolar.
Pada pertengahan November, pihak berkuasa antirasuah Mongolia mengumumkan bahawa lebih 30 pegawai termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perlombongan arang batu milik kerajaan Erdenes Tavan Tolgoi sedang disiasat kerana penyelewengan.
Firma itu mengawal deposit Erdenes Tavan Tolgoi, yang mengandungi 7.5 bilion tan arang kok, bahan penting dalam proses pembuatan keluli dan mewakili komponen utama hasil belanjawan negara Mongolia.
Penggubal undang-undang yang terbabit didakwa memanfaatkan pemilikan mereka ke atas lombong arang batu dan syarikat pengangkutan yang memindahkan bahan api fosil merentasi sempadan ke China untuk mengaut keuntungan haram.
"6.4 juta tan arang batu tidak didaftarkan oleh pegawai kastam Mongolia tetapi direkodkan oleh kastam China, sejak 2013," kata Ahli Parlimen, Dorjhand Togmid, pada November lalu.
Mongolia menghantar 86 peratus daripada eksportnya ke China, dengan arang batu menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan dan sedang meningkatkan infrastrukturnya dengan harapan dapat menjual lebih banyak lagi kepada jirannya di selatan.
Perlombongan membentuk satu perempat daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Mongolia. - AFP
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment