Datuk Arthur Joseph Kurup |
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) khuatir dengan barisan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang hanya mengandungi dua wakil dari negeri ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup, mengakui bimbang ia memberi gambaran awal kebajikan dan pembangunan Sabah bakal terpinggir kerana negeri ini hanya mempunyai dua menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan.
"Sabah hanya diberikan kuota dua menteri yang tidak setara jika dibandingkan dengan menteri di Semenanjung, iaitu 21 menteri dan seorang Timbalan Perdana Menteri, mahupun jika dibandingkan dengan Wilayah Sarawak, iaitu seorang Timbalan Perdana Menteri dan lima menteri.
"Untuk rekod, daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 24 Ahli Parlimen telah menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. Daripada jumlah tersebut, Barisan Nasional Sabah dengan tujuh Ahli Parlimen adalah penyumbang terbesar.
"Malang sekali, Sabah hanya diberikan dua jawatan Kabinet dan tiada seorang pun daripada BN Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menegaskan Sabah memerlukan lebih ramai wakil dalam Kabinet bagi membantu membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.
Pemimpin parti komponen BN itu juga berkata, pembatalan begitu banyak projek pembangunan infra rakyat terutamanya Projek Pan Borneo Sabah ketika dipimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 masih segar dalam ingatan rakyat Sabah.
"Begitu juga langkah penjimatan yang diambil dengan mengurangkan atau menghapuskan bantuan yang pada asasnya bertujuan membantu rakyat. Justeru, kami berharap agar Kerajaan Perpaduan tidak mengulangi kesilapan yang lalu.
"Sabah memerlukan lebih banyak pembangunan, lebih banyak bantuan untuk rakyat dan lebih ramai wakil dalam kerajaan agar kami di Sabah boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama Semenanjung," katanya.
Sumber | BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment