Armizan Mohd Ali berkata, pengalaman berkhidmat di bawah kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor dan bekerjasama dengan Maximus Ongkili, juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) sebelum ini, memberi pendedahan serta pengalaman berguna bagi menggalas amanah diberikan. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU: Armizan Mohd Ali beri komitmen akan meletakkan agenda berteraskan Perjanjian Malaysia (MA63), sebagai antara keutamaannya dalam menggalas amanah sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) yang baharu.
Walaupun menganggap lantikan itu sebagai satu tanggungjawab yang menarik, beliau mengakui akan berhadapan tugas yang mencabar kerana buat pertama kali berada dalam Jemaah Menteri persekutuan.
Ini menurutnya kerana portfolio yang diamanahkan kepadanya, berkait secara langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama, dan ’dekat’ dengan intipati perjuangannya dalam arena politik.
“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merupakan antara 27 ahli Jemaah Menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Beliau berkata pengalaman berkhidmat di bawah kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor dan bekerjasama dengan Maximus Ongkili, juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) sebelum ini, memberi pendedahan serta pengalaman berguna bagi menggalas amanah diberikan.
“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.
Armizan, 46, merupakan setiausaha sulit kanan ketua menteri Sabah yang disandangnya sejak Disember 2020 sebelum bertanding pada pilihan raya umum ke-15, dan memenangi kerusi Parlimen Papar mewakili Gabungan Rakyat Sabah dengan majoriti 12,224 dalam saingan enam penjuru di Parlimen itu.
No comments
Post a Comment