Cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, tidak relevan.
Sepertii yang kita semua ketahui, UMNO kini telah berubah 360 darjah daripada prinsip perjuangannya sejak sekian lama apabila membentuk jajaran baru bersama Pakatan Harapan (PH), yang mana tidak pernah terfikir di benak ahli-ahlinya bahawa kerjasama itu boleh terjalin hingga membawa kepada pembentukan kerajaan yang turut disertai DAP.Kejayaan membentuk jajaran baru bersama PH melibatkan kerjasama Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim tidak akan berjaya tanpa usaha berterusan Zahid, iaitu anak didik kepada Anwar menggunakan segala cara yang ada bagi merealisasikan hubungan itu.
Walaupun ada ahli akar umbi PH yang tidak bersetuju dengan kerjasama itu kerana sebelum ini mereka sudah saling kecam-mengecam, kutuk-mengutuk hingga macam-macam label diberikan seperti penyamun, penyangak, kluster mahkamah dan sebagainya kepada pemimpin BN, penyokong PH tidak boleh menyatakan ketidakpuasan hati secara rasmi kerana Pemilihan PKR sudahpun dijalankan sebelum PRU-15.
Dalam pemilihan tersebut, akar umbi parti berkenaan telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada Anwar, Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan barisan kepimpinan pemuda dan wanita untuk terus mencorakkan kelangsungan perjuangan parti itu.
Berbeza dengan UMNO, mereka yang sudah berseteru dengan PH dan sudah melakukan pelbagai serangan seperti PH hancing dan tidak rela lagi dikencing oleh parti dianggotai DAP itu, masih mempunyai saluran untuk bersuara secara rasmi pada Pemilihan UMNO yang akan datang.
Umum mengetahui Pemilihan UMNO sudah beberapa kali ditangguhkan dengan pemilihan yang terakhir ialah pada 30 Jun 2018 iaitu jika mencecah Jun tahun depan, sudah genap lima tahun pemilihan parti tidak diadakan.
Ia adalah satu tempoh yang cukup lama dan tidak seharusnya UMNO dibiarkan berfungsi dalam keadaan tanpa pemilihan dalam masa yang lama seperti itu.
Jika sebelum ini, pelbagai alasan diberikan antaranya bagi mengelakkan perpecahan dalam parti untuk menghadapi PRU15 dan macam-macam alasan lagi bagi merasionalkan penangguhan berkenaan.
Kini, timbul pula cadangan daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos supaya dua jawatan tertinggi UMNO iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dengan alasan parti itu kini masih dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.
Penulis melihat cadangan tersebut tidak relevan sama sekali kerana pada pemilihan kali inilah sepatutnya digunakan oleh UMNO bagi melihat sejauh mana penerimaan ahli-ahlinya terhadap jajaran baru politik dilakukan oleh presiden parti itu.
Cadangan itu juga tidak munasabah kerana seolah-olah menghalang presiden untuk menunjukkan kemampuannya mengekalkan jawatan tersebut yang mana pada pemilihan tahun 2018, Zahid menewaskan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Dengan menjadikan alasan UMNO kini sedang rapuh dan tidak stabil supaya pemilihan dua jawatan penting tidak dipertandingkan juga tidak dapat diterima kerana secara logiknya, penangguhan pemilihanlah yang menyebabkan parti makin berpecah.
Lagipun, Presiden dan Timbalan Presiden, Mohamad Hasan ketika ini sudah menjawat jawatan penting dalam kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dan aura mereka sudah pasti dapat meningkat serta meyakinkan perwakilan UMNO untuk terus menyokong mereka.
Ditambah pula UMNO kini sedang aktif mengadakan majlis perjumpaan dan penerangan isu semasa di bahagian-bahagian UMNO untuk memberikan penerangan kepada ahli-ahli mereka mengenai alasan kerjasama Zahid-Anwar.
Perjumpaan terkini yang penulis dapat lihat ia disampaikan oleh calon BN yang kalah hatrik dalam pilihan raya umum iaitu Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki di UMNO Bahagian Seremban pada 20 Disember lalu.
Maka, dengan segala justifikasi sedia ada, kekuatan presiden dan timbalan serta perkembangan semasa UMNO, adalah amat janggal jika dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan dan dibiarkan kekal tanpa dicabar oleh pemimpin UMNO lain.
Mohd Azam Mohd Atan
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian 1Media.my Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
No comments
Post a Comment