KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengambil tindakan bersesuaian dengan memberi keutamaan kepada isu yang membabitkan rakyat serta tidak mengambil tindakan secara pilih kasih.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata kerajaan perlu tahu apa keutamaan untuk rakyat dan bukan lagi mengamalkan mentaliti sebagai pembangkang populis.
Beliau berkata, rakyat ketika ini resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.
"Dua isu ini bukan baru bermula semalam. Sepatutnya, siapa juga menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), inilah keutamaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
"Rakyat berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harganya melambung. Harga makanan menggunakan telur pun ikut naik. Contohnya, laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik daripada RM2.50 kepada RM3.20. Naik 70 sen," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, harga simen pula melonjak 30 peratus daripada RM17 bagi setiap beg 50 kilogram kepada RM22.50 ketika ini.
"Jika simen naik harga, semua bahan binaan membabitkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah barangan kawalan berjadual, yang tak sepatutnya naik," katanya.
Beliau juga membangkitkan isu monopoli dan permainan licik 'tauke' kaya, yang menguasai industri makanan dan pembinaan.
"Yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor, terutama kontraktor kecil. Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tapi Anwar utamakan beras. Ya, harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?" katanya.
Beliau menegaskan jika terlalu banyak 'wayang' populis tapi sebenarnya tong kosong saja, maka akan terjadilah salah keutamaan (wrong priorities).
"Tak adakah keinginan nak tegur tauke kaya `tertentu' dalam industri berkaitan telur dan simen? Itu sepatutnya jadi keutamaan kerajaan.
"Saya setuju jangan ada monopoli, tetapi letak keutamaan yang betul dan jangan lindungi tauke kawan-kawan Pakatan Harapan (PH)-DAP daripada teguran. Jangan pilih bulu," katanya.
Beliau juga mahu kerajaan melihat kepada harga minyak.
"Wahai Pak Syeikh, itu belum lagi saya tanya mengenai harga minyak. Berapa kali esok yang Pak Syeikh perlukan untuk turun harga minyak?" katanya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment