NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Azfar harun nama negara, muncul juara tilawah di Algeria


PUTRAJAYA: Setelah melakarkan sejarah apabila menjadi naib juara pertandingan tilawah al-Quran di Qatar, Ahmad Azfar Azraie sekali lagi berjaya mengharumkan imej Malaysia.

Menurut hantaran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui laman sosial rasminya, qari cilik itu kali ini mencipta nama pula di Algeria sebagai juara Musabaqah Mazamir Daoud di negara itu.

Qari yang berusia 10 tahun dan berasal dari Melaka itu memenangi Kategori Kanak-Kanak Bawah 15 Tahun sebagai mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa tersebut.

Mazamir Daoud yang juga bermaksud suara lantunan indah Nabi Daud, merupakan acara tahunan dan turut disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen satelit Al-Shorouk.

Ia ke udara sejak 2014 sebagai program mingguan sebelum dijadikan acara pertandingan bertaraf antarabangsa untuk remaja dari seluruh dunia oleh penerbitnya, Rizwan Hussein.

Ini merupakan penampilan kali kedua bagi Ahmad Azfar di peringkat global setelah mencipta rekod apabila memenangi tempat kedua program Tijan Nour di Qatar pada 19 Mac lalu.

Ketika pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa edisi ke-10 itu, beliau menyertai kategori umur bawah 13 tahun dan berita ini turut dilapor secara meluas oleh Jakim.

Awal Julai lalu, beliau juga muncul juara qari program Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Kebangsaan 2022 di bawah anjuran Lembaga Penasihat Pendidikan Agama Islam Jakim.

Nama beliau bukan asing dalam bidang pembacaan kitab suci itu kerana bapanya sendiri, Azraie Abdul Hak merupakan naib johan Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan 2018 lalu.

Selang beberapa minggu kemudian, guru agama itu menjuarai pula kategori tilawah al-Quran dalam acara Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Antarabangsa diadakan di Kuwait.

Pengalaman pernah menyertai pertandingan seumpamanya di Russia, Turkiye dan Iran sebelum itu membolehkan beliau menewaskan ramai peserta hebat dari 75 negara yang lain.

Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, Melaka itu turut pernah muncul sebagai pemenang ketiga Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan 2022 pada Jun lepas.

Uniknya lagi, isteri beliau sendiri, Sarrul Munirah Haris pula yang turut mewakili Melaka telah dinobatkan menjadi naib johan pada pertandingan berkenaan untuk kategori qariah. – UTUSAN


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo