NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

7 Noktah Bagi Menjawab Tulisan Lim Kit Siang, "Hanya Dasar Reformasi Mampu Kekang Gelombang Hijau".

Tulisan terbaru Lim Kit Siang menzahirkan kebimbangan beliau terhadap gelombang anak muda yang menolak BN & PH dalam PRU15.

Turut dizahirkan adalah 'amaran' beliau terhadap Perdana Menteri untuk mengambil segala langkah bagi menghalang kebangkitan anak muda, seterusnya mengekang kemaraan 'gelombang hijau' dalam arus perdana. Namun beliau terkhilaf dalam membaca isyarat yang mencetuskan gelombang berskala besar ini.

1. Tidakkah Lim Kit Siang sedar, segala 'dasar reformasi' yang dilaungkan oleh PH selama ini telah pun dilenyapkan, dipadamkan, dan dibatalkan sendiri oleh PH dan Anwar Ibrahim.

Ke mana hilangnya janji untuk memisahkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan? Ke mana hilangnya janji untuk menentang rasuah, kleptokrat dan kluster mahkamah? Ke mana hilangnya segala formula dan janji manifesto yang masih belum ditunaikan? Sehingga hari ini, semuanya telah dilanggari oleh PH dan Anwar Ibrahim sendiri.

2. Sedarkah Lim Kit Siang, gelombang penolakan anak muda terhadap PH dalam PRU15 adalah kerana faktor-tolakan (push factor) yang terbit daripada KESEDARAN anak muda terhadap pembohongan, fitnah dan mungkir janji oleh PH.

3. Sedarkah Lim Kit Siang, gelombang penolakan anak muda terhadap UMNO/BN dalam PRU15 adalah juga kerana faktor-tolakan (push factor) terhadap budaya rasuah dan kluster mahkamah yang terpalit di wajah UMNO/BN.

4. Sedarkah Lim Kit Siang, gelombang sokongan anak muda terhadap PN dalam PRU15 adalah kerana faktor-tarikan (pull factor) yang terhasil daripada KESEDARAN & SOKONGAN terhadap calon yang bersih, berintegriti dan berkebajikan yang ditawarkan oleh PN.

5. Sedarkah Lim Kit Siang, media sosial dan perang siber adalah 'lubuk' PH yang sarat dengan naratif fitnah, berita palsu dan satira yang melampau dan memualkan, sehingga anak muda beralih untuk mencari pencerahan di sebalik pembohongan 'berskala besar' oleh tentera siber PH.

6. Sedarkah Lim Kit Siang, gelombang hijau yang membadai UMNO/BN dan PH dalam PRU15 sebenarnya adalah 'Gelombang Kebangkitan' yang mahu menolak 'politik fitnah, politik bohong, dan politik rasuah', dengan memilih politik pemulihan dan politik sederhana yang Prihatin, Bersih, dan Stabil.

7. Sedarkah Lim Kit Siang, yang dikatakan politik 'pembohongan, ketakutan, dan kebencian' sebenarnya dibawa oleh pihak PH, yang gagal melaksanakan segala janji manifesto, membawa pendekatan melampau dan budaya fitnah, malah menggagalkan sendiri 'agenda reformasi' yang dilaungkan selama ini.

Kepada Uncle Lim, sedarlah daripada ilusi. Saksikanlah permulaan baharu kepada PH hari ini, iaitu permulaan kepada sebuah pengakhiran (the beginning of the end) bagi segala 'dasar reformasi' yang digagalkan sendiri oleh Anwar Ibrahim, PH dan sekutu baharunya.

Sedarlah Uncle Lim, rumah PH kini sedang diruntuhkan oleh tangan kalian sendiri, akibat mabuk kuasa hingga sanggup mengambil jalan ke belakang, menggadaikan 1001 prinsip, janji dan dasar reformasi yang dilaungkan selama ini.

Kepada anak muda, ingatlah pesan pepatah lama, "Buang yang keruh-keruh, ambil yang jernih". 

Syahir Sulaiman, Bachok
10 Disember 2022

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo