KOTA BHARU: Sepuluh hospital di Kelantan termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas dengan banjir, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata sebagai persiapan semua hospital telah dipastikan untuk menyediakan bekalan asas bagi memastikan mampu beroperasi dalam situasi bencana banjir.
"Sekiranya terdapat hospital yang kemungkinan terputus hubungan jalan raya disebabkan banjir, bantuan sumber atau pemindahan pesakit boleh dilaksanakan dengan bantuan udara. Kami telah mengenal pasti tempat bagi pendaratan helikopter sekiranya diperlukan.
"Malah, persiapan kami bagi pesakit kritikal yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan pindah lebih awal di hospital yang tidak terjejas banjir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata apabila musim banjir berlaku terdapat beberapa petugas kesihatan yang tidak boleh bertugas berikutan kediaman mereka dinaiki air, laluan ke tempat bertugas tersekat dan sebagainya namun ia tidak menjejaskan operasi di hospital terbabit.
"Seperti semalam, Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh telah berlaku limpahan air berikutan hujan lebat sehingga memasuki perkarangan hospital namun ia telah surut pagi ini dan operasi berjalan seperti biasa," katanya.
Beliau berkata bagi mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pasukan kesihatan akan turut menjalankan aktiviti seperti memeriksa kebersihan persekitaran pusat pemindahan, memantau dan memeriksa kualiti air minum, menjalankan aktiviti pengklorinan dan disinfeksi bekalan air serta memeriksa kehadiran dan tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Pasukan Kesihatan Mental dan Tindakan Psikososial pula akan menjalankan aktiviti seperti menjalankan kaunseling kepada mangsa banjir bagi kes-kes kematian, kehilangan harta benda, ibu hamil dan pesakit berisiko yang akan dipindah masuk ke hospital," katanya.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment