PETALING JAYA: Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin berdepan tugas getir bagi mempertahankan Parlimen Ampang yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu, menurut penganalisis politik.
Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, pengaruh Pakatan Harapan (PH) di Ampang mungkin menyahkan personaliti Zuraida dalam kalangan penduduk.
“Lambang PKR-PH lebih besar daripada nama individu. Zuraida bertanding dan menang juga atas tiket PKR. Apabila tidak lagi bernaung bawah lambang PKR, Zuraida menempuh jalan berliku untuk menang di Ampang,” katanya kepada FMT.
Azmi Hassan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara senada, mengatakan personaliti Zuraida mungkin tidak beri kelebihan kepada beliau dalam menghadapi kekuatan tiga parti komponen PH.
“Pengundi pada PRU kali ini turut mengidamkan sebuah kerajaan yang stabil justeru perkara ini menyebabkan mereka tidak melihat PBM sebagai alternatif,” katanya kepada FMT.
Pada PRU14, Zuraida menang di Ampang atas tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi, menewaskan calon BN dan PAS. Dua DUN bawah Parlimen itu turut dimenangi PKR, iaitu Bukit Antarabangsa (25,512) dan Lembah Jaya (14,790), meskipun calon bertanding ketika itu merupakan Azmin Ali dan Haniza Talha yang sudah meninggalkan parti itu.
Beberapa pengundi muda yang ditemubual FMT memaklumkan mereka sudah membuat “homework” mengenai calon yang bersaing untuk undi mereka, serta manifesto masing-masing.
Tiga rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Afiqah, Ain, dan Aqilah, semua berusia 24 tahun, berwaspada dengan calon dan parti yang tidak sealiran dengan aspirasi mereka.
“(Kami) Nakkan pemimpin berprinsip dan tidak korup,” kata mereka.
Sofia, 20, seorang pelajar, juga mahu pemimpin yang tidak korup tetapi khuatir maklumat di tangannya tidak beri gambaran sebenar mengenai calon yang bertanding.
“Saya mahu kerajaan atasi masalah peluang pekerjaan yang dihadapi oleh mahasiswa dan gaji yang setimpal dengan kelayakan.”
Seorang lagi pengundi, Sham, 49, kurang bersemangat menjelang PRU15 kerana beranggapan tidak ada satu parti mampu memiliki majoriti mencukupi membentuk kerajaan.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment