NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid tidak layak wakil UMNO, BN berbincang dengan parti lain – Onn Hafiz


KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai kelayakan untuk mewakili UMNO dan Barisan Nasional dalam sebarang perbincangan dengan mana-mana parti untuk membentuk kerjasama.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan BN dan sekali lagi mendesak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meletakkan jawatan dalam parti dengan segera.

“Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan DAP.

“Beliau yang telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya antara punca kekalahan teruk BN, tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak,” tegas beliau.

Sebuah portal melaporkan pemimpin Pakatan Harapan dan BN dijangka bertemu di Hotel Seri Pacific, di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa sumber daripada Pakatan Harapan dan BN mengesahkan pertemuan 10 pagi tersebut tetapi enggan mendedahkan tujuan pertemuan itu.

Onn Hafiz berkata, Ahmad Zahid tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Onn Hafiz menegaskan, sebarang keputusan yang dibuat oleh Ahmad Zahid tanpa melalui proses tersebut adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti.

Menurut beliau, UMNO kekal dengan keputusan tidak akan bekerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Dato Seri Anwar dan DAP.

“Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. InsyaAllah ada hikmahnya.

“Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya.

Banyak pihak dalam UMNO kini mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan.-MalaysiaGazette




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo