NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zaharuddin tidak gentar bersaing dengan dua nama besar di Jelebu


JELEBU:
Calon Perikatan Nasional ( PN) Parlimen Jelebu, Zaharuddin Baba Samion, 56, menyifatkan dirinya hanya insan kerdil apabila perlu berdepan dua nama besar daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Anak jati Kampung Sungai Buloh, Jelebu, menyifatkan calon BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias, adalah nama besar di Jelebu, berikutan pernah dua penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri ( DUN) Negeri Sembilan dan satu penggal sebagai Ahli Parlimen, manakala calon PH, Datuk Zulkefly Mohamad Omar adalah Speaker DUN Negeri Sembilan.

"Namun, saya berani mengambil cabaran itu dan tidak gentar untuk berdepan dengan dua nama berkenaan apabila diumumkan sebagai calon PN oleh pimpinan parti.

"Ketika ini saya bermula daripada kosong dan percaya masih ramai yang tidak kenal siapa saya berbanding dua nama terbabit yang sudah dikenali oleh penduduk di Jelebu serta perlu bekerja kuat bagi memastikan dirinya dapat diterima pengundi," katanya ketika meninjau Pusat Daerah Mengundi ( PDM) di Kampung Kampai, malam ini.

Zaharuddin berkata, membawa kemajuan ke daerah ini yang agak ketinggalan sejak 10 tahun lalu adalah fokus utama, selain hasrat PN menghapuskan rasuah yang semakin teruk melanda negara ketika ini

Katanya, sebaik Tan Sri Dr Rais Yatim tidak lagi menjadi Ahli Parlimen pada 2013, pembangunan di daerah ini agak perlahan menyebabkan Jelebu semakin jauh ketinggalan berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

Lebih dikenali sebagai Bangteh dalam kalangan penduduk tempatan, Zaharuddin merancang pembinaan universiti, selain meningkatkan kemudahan komunikasi seperti pernah diperkenalkan Rais ketika menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada masa lalu, menerusi kampung wifi antara yang bakal dilakukan sekiranya memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

Pesara guru yang juga usahawan itu, berkata walaupun berdepan cabaran dua nama besar terutamanya Jalaluddin yang sudah dikenali, dia akan berusaha keras untuk memastikan kemenangan menjadi milik PN.

Mempunyai hubungan baik dengan masyarakat termasuk menjadi Pengerusi Kelompok Tanaman Padi Komersil Sungai Buloh, Zaharuddin berharap pengundi Parlimen Jelebu memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat pada penampilan kali pertama sebagai calon.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo