NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warisan sokong parti mampu tubuh kerajaan, beri manfaat rakyat Sabah, kata Shafie


KOTA KINABALU:
Warisan akan menyokong sesiapa saja yang diyakini mampu membentuk kerajaan stabil, dengan syarat ia harus memberi manfaat kepada rakyat Sabah, kata Presidennya, Shafie Apdal.

Walaupun Warisan hanya memenangi tiga kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), namun beliau yakin sokongan parti itu masih diperlukan bagi membentuk kerajaan persekutuan.

“Rakyat sudah bersuara, kita kena ‘move on’ dan bagi kita dalam Warisan, kita akan sokong sesiapa saja yang mampu membentuk kerajaan, tetapi haruslah memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Kita mahu berada dalam kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada rakyat, walaupun kita hanya menang tiga kerusi, tapi rakyat juga yang memilih kita menjadi wakil rakyat, macam di Semporna di mana saya menang lebih 20,000 undi majoriti, saya tidak mahu mengabaikan mereka.

“Apa yang penting, pertamanya kerajaan yang kita sokong memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di Sabah, keduanya kestabilan politik kerana kita tidak mahu pergolakan politik terus berlaku dan seterusnya kelangsungan Warisan ini sendiri,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu, Shafie berkata, Warisan akan melakukan “post mortem” terhadap kekalahan mereka di kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut mengakui kelemahan utama Warisan ialah mendapatkan undi Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

“Kawasan KDM bukan hanya kelemahan kita pada PRU15, tetapi juga pada pilihan raya negeri sebelum ini. Sebab itu kita kena cuba atasinya dan bersiap sedia lebih awal, PRN mungkin diadakan dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang.

“Kekalahan kita di sejumlah kerusi yang ditandingi juga disebabkan tsunami yang dicetuskan rakyat, namun demikian kita sambut baik apa yang berlaku, kita kena hormati apa yang berlaku di negara ini.”




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo