NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Video tular minum ketum: Calon PRU15 BN dakwa fitnah dan serangan peribadi


BUTTERWORTH:
"Itu hanyalah serangan peribadi yang ingin menjatuhkan saya di saat-saat akhir berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)".

Demikian reaksi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berhubung video tular yang mendakwa kononnya beliau sedang minum air dipercayai air ketum.

Menjawab tuduhan itu, Muhamad Yusoff berkata, tindakan fitnah dan serangan peribadi tersebut mungkin cubaan untuk menganggu kempen serta menghasut fikiran penduduk menjelang hari pengundian esok.

Bagaimanapun katanya, perbuatan itu tidak menjejaskan usaha beliau untuk meneruskan kempen dalam tempoh yang hanya berbaki tidak sampai 24 jam untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di Tasek Gelugor.

Muhammad Yusoff berkata, beliau yakin pengundi kawasan itu bijak membuat penilaian.

“Macam mana mereka kata tu air ketum? Kalau benar mereka ada bukti buat laporan biar polis jalankan siasatan dan saya sedia untuk disiasat.

“Sampai bila rakyat hendak 'disaji' dengan benda-benda macam ini. Adakah mereka takut kalah hingga perlu melakukan serangan peribadi sebegini terhadap saya?," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhamad Yusoff berkata, sepatutnya saat akhir ini semua pihak yang bertanding perlu berkempen secara sihat dan terus meyakinkan pengundi dan bukan menggunakan taktik kotor.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 23 saat di Facebook menunjukkan dua lelaki memakai baju BN sedang membuka satu bungkusan air berwarna hijau yang didakwa air ketum.

Dalam video sama, mereka menunjukkan calon yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor kononnya berada dalam keadaan 'lalok' bersama satu botol air berwarna gelap.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan; Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo