Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan, Siti Masitah Nasir hari ini mengumumkan sokongan kepada calon BN bagi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi.
Siti Masitah bersama hampir 100 ahli Putra lain mengumumkan keputusan mereka untuk beralih sokongan kepada BN.
Katanya, kecaknaan calon BN Parlimen Tumpat itu membuatkan mereka berbuat demikian.
"Kesungguhan Che Abdullah yang dilihat sangat komited turun padang bersama masyarakat sepanjang tempoh berkempen dirasakan selari dengan perjuangan mereka yang ingin mengutamakan rakyat.
"Sepanjang lebih seminggu sepanjang tempoh berkempen, kami melihat kecaknaan Che Abdullah lebih menonjol berbanding calon lain.
"Ini menguatkan hati kami bahawa beliau layak menerajui Tumpat. Disebabkan itu kami semua mengambil keputusan untuk membantu beliau berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam sidang media di Tumpat, hari ini.
Bagaimanapun katanya, dia belum memaklumkan mengenai keahlian mereka kepada parti yang dipimpin Ibrahim Ali selaku presiden.
Kerusi Parlimen Tumpat dimenangi Che Abdullah atas tiket PAS dengan 17,500 undi pada PRU-14 yang menewaskan calon BN, Wan Johani Wan Hussin dan calon Pakatan Harapan (PH) Nordin Salleh.
PAS yang kini sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Mumtaz Md Nawi bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.
Manakala Che Abdullah pula bertanding atas tiket BN.
Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu, selain Che Abdullah, Mumtaz, Putra diwakili oleh Che Mohd Asemari Che Ali Parti; Khairul Azuan Kamarrudin dari Warisan dan Wan Mohd Johari Wan Omar yang membawa cabaran PH.
Sementara itu, Che Abdullah menyifatkan sokongan ahli Putra sebagai kejutan pada saat akhir yang mampu mencetuskan 'Gelombang Datuk Che Lah'.
Che Abdullah turut meluahkan rasa terharu dengan tindakan yang dibuat ahli Putra dan sokongan yang semakin ramai itu sedikit sebanyak dapat mengangkat semula reputasinya yang sedikit terjejas sebelum ini berhubung isu peribadi dan masalah dalaman PAS itu sendiri.
"Saya tak sangka semakin banyak serangan peribadi yang dilemparkan kepada saya, semakin banyak sokongan yang diterima sekaligus membuktikan tidak semua orang menerima bulat-bulat segala tohmahan yang dilemparkan.
"Sokongan yang diterima ini akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan dan dalam masa yang sama berdepan dengan serangan peribadi dan tentera siber," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment