NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Untung satu game RM1 juta


Kuala Lumpur:
'Demam' Piala Dunia Fifa Qatar 2022 yang melanda negara ketika ini turut diambil kesempatan sindiket pertaruhan antarabangsa dan bookie bola sepak tempatan dengan menawarkan keuntungan pertaruhan mencecah RM1 juta bagi setiap perlawanan.

Berbanding kaedah konvensional, sindiket sindiket pertaruhan judi bola sepak kini semakin licik apabila menggunakan sepenuhnya medium dalam talian dan berpuluh laman web berpangkalan di Hong Kong bagi berurusan dengan pelanggan.

Malah, lebih berani apabila sindiket mengiklankan operasi mereka di media sosial dengan menawarkan hadiah wang lumayan menjangkau sehingga 50 kali ganda modal pertaruhan.

Melalui pendekatan terbaru ini, khidmat ejen bookie kedai atau punter bergerak yang mengumpulkan wang pertaruhan dari kaki judi tidak lagi dianggap efisien dan selamat.

Siasatan wartawan Harian Metro mendapati pelbagai laman web diwujudkan sindiket semata-mata bagi menarik perhatian kaki judi mencuba nasib melalui pertaruhan harian pertandingan bola sepak antarabangsa itu.

Semakan mendapati semua transaksi pertaruhan membabitkan urusan perbankan dalam talian, pindahan wang e-wallet dan menambah nilai prepaid telefon pintar.

Setiap kaki judi yang memenangi pertaruhan akan menerima wang pertaruhan menerusi perbankan dalam talian dipindahkan terus dari akaun bank milik sindiket.

Seorang kaki judi mendedahkan kepada Harian Metro bahawa laman web khusus untuk pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia FIFA sudah wujud sebelum sepak mula dilakukan 21 November lalu.

Menurutnya, urusan pertaruhan membabitkan setiap perlawanan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian.

"Berbanding dahulu, kaki judi perlu ke kedai beli resit (pertaruhan) namun kini lebih mudah...hanya buka laman web dan boleh bet (bertaruh) menggunakan telefon pintar.

"Masa ini (Piala Dunia) memang boleh buat duit, tapi boleh juga rugi besar. Ada risiko perlu diambil.

"Antara laman web pertaruhan haram yang boleh diakses secara terus antaranya www.BK**.com, www.victory66**.com, multibet**.com dan J8wins**.com," katanya.

Jumaat lalu, Polis Johor menahan 10 lelaki tempatan disyaki menjadi ejen bookie pertaruhan bola sepak menerusi Op Soga IX di negeri itu.

Semua suspek berumur antara 22 hingga 43 dipercayai ejen bookie pertaruhan dengan nilai had kredit pertaruhan melebihi RM1 juta.

Sementara itu pada Rabu lalu, Polis Kedah menahan empat lelaki disyaki terbabit dalam pertaruhan bola sepak susulan tiga serbuan masing-masing di Alor Setar, Kodiang di Jitra, dan Sungai Petani, Kedah

Dalam tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 34, polis menemui telefon bimbit memaparkan laman web _play.tek789.com_ menunjukkan huruf serta angka disyaki kegiatan pertaruhan perlawanan bola sepak Fifa Piala Dunia Qatar 2022.

Selain itu, wang tunai RM385 dirampas dan suspek mengaku bekerja menjalankan kegiatan pertaruhan bookie perlawanan bola sepak dunia itu dengan had kredit RM20,000.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.


Laman web masih boleh diakses

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu bertindak lebih pantas dalam mengekang laman web menyediakan pertaruhan judi Piala Dunia Qatar 2022.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, SKMM sepatutnya bertindak lebih tegas berikutan sindiket kini menggunakan laman web dalam talian.

"Semua maklumat boleh dicari di Google dan akan terpapar laman web yang menyediakan pertaruhan bola sepak Piala Dunia.

"Malangnya sehingga kini laman web tidak disekat dan boleh diakses secara terus. Jika SKMM tidak pasti, boleh rujuk kepada kami bagaimana cara untuk mengenal pasti laman web yang melakukan pertaruhan (bola sepak)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang sekatan terhadap laman web berkenaan sehingga ia boleh diakses oleh semua individu tanpa mengira umur.

"Semua transaksi juga adalah dalam talian, sindiket berasa lebih selamat kerana tidak membabitkan pertaruhan tunai dan tanpa sebarang catitan. Mereka juga tidak menyediakan ejen bookie dan punter sebagai orang tengah. Semua urusan secara terus menerusi platform yang disediakan sindiket," katanya.







........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo