PETALING JAYA: Umno perlu bersama Anwar Ibrahim menjadi sebahagian daripada kerajaan termasuk menerimanya menjadi perdana menteri, kata bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.
Katanya, Umno perlu matang dan tidak boleh beremosi hanya kerana parti tidak mendapat jawatan tertentu dan sebagainya.
Zaid berkata, parti perlu menerima hakikat bahawa Anwar perlu menjadi
perdana menteri memandangkan beliau mendapat kerusi terbanyak, pada
pilihan raya umum.
Beliau berkata, tindakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) mahu membentuk
kerajaan bersama Umno merupakan penghormatan kepada parti.
“Tawaran itu diberi kepada Ahli Parlimen yang menang, isu ini tertumpu pada Ahli Parlimen, yang bukan Ahli Parlimen diam-diam sudah lah. Usah kelirukan isu.
“Saya harap pemimpin Umno fikir tak mudah jadi pembangkang…cakap boleh. Di Kelantan kita jadi pembangkang 30 tahun apa kemajuannya? Apakah dapat dilaksanakan sebagai pembangkang? Dan kita tewas Kedah, Kelantan, Terengganu…’total loss’ (kalah teruk),” katanya dalam video dimuat naik dalam Facebook.
Katanya, Umno terlalu lama diseludupi musuh dengan sekian lama pula ada pemimpin tertinggi menjadi ‘mole’ dalam parti.
“Buat keputusan dengan matang jangan emosi semata-mata kerana kita tak dapat jawatan tertentu dan sebagainya. Dalam konteks anti-lompat ini kena ikut arahan parti, itu intipati anti-lompat. Kalau kita terima hakikat Westminster ketua parti (parti whip) mereka kena ikut, iaitu Zahid (presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional).”
Katanya, Umno perlu memikirkan kepentingan negara dan bukan ego.
Semalam, pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan bersama pemimpin PH, di Hotel Seri Pacific, untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, timbul desakan bercampur antara kumpulan menyokong dan menentang usaha itu.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), PH menang 82 kerusi, manakala BN menang 30 kerusi. Sekiranya bergabung, kedua-dua parti itu mampu membentuk majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baharu.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment