BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik yang ‘degil’ kerana tidak mahu belajar daripada pengalaman pahit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Natijahnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi ‘disengat’ dalam PRU15, pada Sabtu lepas, kata Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin.
Profesor Madya di Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, hanya kali ini, sengatan itu mengeluarkan ‘bisa’ lebih berbahaya.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan UMNO mungkin akan lumpuh atau maut jika tidak dirawat dengan kaedah benar-benar ‘radikal dan luar biasa.’
“Selepas sengatan pertama dalam PRU14, UMNO diakui banyak bermuhasabah dan merenung kesilapan mereka. Berbondong-bondong pemimpin mereka berkhutbah mengenai ‘perubahan sikap dan penjenamaan semula’ perlu dilakukan walaupun retorik sama sudah dijaja sejak PRU12 pada 2008.
“Membantu usaha ini ialah ‘kecelaruan fokus’ ditunjukkan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Sedikit demi sedikit, UMNO-BN mula kembali diterima. Mereka menang dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan selepas itu, termasuk kemuncaknya di Tanjung Piai,” katanya menulis di Berita Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO dan BN kelihatan ‘kembali segar’ di bawah kepemimpinan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memangku jawatan Presiden untuk beberapa ketika.
“Di mana-mana selepas itu, naratif Tok Mat sebagai calon terbaik memimpin UMNO mula tersebar luas dan menjadi konsensus diterima ramai. Namun, hasrat itu hanya terbenam sebagai ‘cakap-cakap nakal’ berikutan tidak ada siapa berani ‘mendongak’ ke muka Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Segala-galanya menjadi lebih jelas selepas Langkah Sheraton 2020 menyaksikan UMNO-BN kembali ke koridor kuasa. Walaupun sekadar berada di pinggiran, UMNO mula kembali berjinak dengan senjata utama mereka – ‘kuasa dan elitisme.’
“Taubat disangka ramai sebagai ‘taubat nasuha’ kelihatannya hanya sebentar. Jolok-menjolok, saling provokasi dan retorik keras mula kembali kedengaran,” katanya.
Hasilnya, Takiyuddin berkata, mereka berjaya menumbangkan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) dan menabalkan calon ‘terbersih,’ iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
“Sejak itu, UMNO kembali seperti UMNO pra-PRU14. Mereka tidak segan untuk sekali lagi menjadi ‘abang besar.’ Biarpun wujudnya beberapa pemimpin UMNO terus cuba menjual imej lebih sederhana dan rasional, mereka sering dibayangi dan dikekang keberadaan Ahmad Zahid,” katanya.
Beliau berkata, keputusan PRU15 pada Sabtu lalu adalah jawapan rakyat kepada ‘kedegilan dan kekerasan kepala’ Ahmad Zahid.
“Satu kawasan Parlimen menjadi contoh jelas ialah Parlimen Kuala Kangsar. Buat kali pertama dalam sejarah, Kuala Kangsar rebah ke tangan PN dengan kedudukan 3-0,” katanya.
Bagaimanapun, seperti dijangka dan mengulangi semula retorik selepas PRU14, sudah dan akan mendengar semula gesaan untuk Ahmad Zahid mengundurkan diri daripada pelbagai pihak.
“UMNO memang cemerlang dalam aspek itu – ‘tersedar hanya apabila sudah terhantuk,'” katanya.
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment