Calon PN untuk Parlimen Maran Ismail Abdul Muttalib menasihatkan pimpinan tertinggi Umno agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, susulan penggantungan isterinya, Fatimah Kassim sebagai ketua Wanita Umno Maran.
Ismail yang memegang kerusi Parlimen Maran selama empat penggal ketika bersama Umno berkata, penggantungan isterinya tidak sepatutnya berlaku kerana dia telah diundi perwakilan ketika pemilihan parti.
"Sebagai isteri, dia akan berikan sokongan moral kepada saya. (Tapi) Belum tahu dia berikan sokongan sebenarnya kepada parti (saya) yang baru. Tetapi kenapa buat dia begitu?
"Maknanya tindakan ini seolah menghina orang. Banyak orang komen pada saya, apa hak (Umno) nak gantung, nak rehatkan dia.
Apabila anda buat macam itu, orang ramai lagi marah, seolah-olah kita tiada maruah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Maran, hari ini.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan Fatimah dan Ketua Wanita Umno Arau Shamsiah Yasin digantung selepas didapati memberikan sokongan kepada calon lawan dalam PRU15.
"Umno menerima aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua ketua Wanita Umno terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan," kata Ahmad lagi.
Untuk rekod, Ismail dan penyandang kerusi Parlimen Arau, Shahidan Kassim digugurkan dalam PRU kali ini.
Bagaimanapun kedua-dua mereka kini menjadi calon kepada PN untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
Ismail berkata, sikap pemimpin tertinggi sesebuah parti yang tidak boleh ditegur akan membawa parti itu ke arah kemusnahan.
Sementara itu, Fatimah berkata keputusan Umno untuk menggantungnya tidak mematahkan semangat dia untuk terus berjuang.
"Saya lebih selesalah sekarang, bahkan dalam keadaan sekarang lebih bersemangat untuk berjuang, untuk membantu suami saya (Ismail) memastikan kemenangan," katanya ringkas.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment