PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar menubuhkan pasukan tindakan yang mampu menghapuskan pita merah dan memastikan projek-projek dilaksanakan secara berkesan, kata bekas penasihat ekonomi kerajaan.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Noor Azlan Ghazali berkata, semakan menyeluruh terhadap “birokrasi rumit” kerajaan perlu dilakukan segera, dan paling penting adalah supaya pasukan petugas ini melaporkan secara terus kepada Anwar.
“Pelaksanaan yang berkesan perlu bersifat transformatif, rentas kementerian. Tiada cabaran merupakan milik mutlak satu kementerian sahaja.
“Penyusunan semula jentera kerajaan yang membolehkan koordinasi pelaksanaan yang berkesan diperlukan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pasukan tindakan berdedikasi yang melapor terus kepada perdana menteri diperlukan, dengan pelaksanaan dan kemajuannya juga perlu dipantau rapi seterusnya sasaran dan laporan pencapaiannya turut diumumkan.
Noor Azlan berkata, kerajaan Anwar menghadapi dua cabaran ekonomi utama.
Selain segera merangka strategi bagi menangani kelembapan ekonomi global yang dijangka berlaku tahun depan, pakar ekonomi itu berkata Anwar juga perlu menangani halangan struktur yang menjejaskan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.
“Apakah langkah kerajaan untuk memastikan prestasi global ini tidak menjejaskan proses pemulihan negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat?” soalnya.
Tambahnya, penting supaya Anwar yang juga bekas menteri kewangan menangani halangan-halangan struktural yang menjejaskan kualiti kehidupan dan membelenggu negara untuk kekal berdaya saing.
“Isu kos sara hidup, kualiti pekerjaan dan pendapatan, lambakan pekerja asing, sekuriti dan bekalan makanan, tarikan pelabur, adaptasi teknologi, pengangguran siswazah dan belia, keselamatan sosial, jurang wilayah dan gender, dan sebagainya, memerlukan kesungguhan politik, dedikasi dan komitmen untuk menyelesaikannya.
“Sudah terlalu lama cabaran struktural ini dibincang dan pelbagai keputusan telah diumumkan. Pelaksanaan menjadi cabaran utama kerajaan,” katanya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment