KUALA TERENGGANU: Kekosongan ditinggalkan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) hampir pasti diisi Pengarah Teknikal Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Tomislav Steinbruckner.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Ahli Lembaga Pengarah TFCSB.
Wan Sukairi berkata jurulatih berusia 56 tahun berasal dari Croatia itu adalah pilihan kedua TFCSB selain Nafuzi untuk membimbing skuad Penyu mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.
"Semasa kita terima cadangan daripada pihak pengurusan (TFCSB), memang Nafuzi diletakkan di kedudukan pertama untuk kita sambung kontrak beliau dan Tomislav Steinbruckner di tempat kedua.
"Jika Nafuzi tidak terima untuk sambung kontrak, tawaran kita akan pergi kepada Steinbruckner, jadi saya rasa hampir pastilah," katanya kepada media selepas perasmian penutup Kejohanan Sukan Gemaputera XVI Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini malam tadi.
Bagaimanapun Wan Sukairi berkata pengumuman mengenai jawatan ketua jurulatih TFC itu akan dibuat oleh pihak pengurusan TFCSB sendiri tidak lama lagi.
Menurutnya, Steinbruckner yang menerajui semua struktur pasukan di bawah pengurusan TFCSB musim ini diyakini mampu menggalas tugas sebagai ketua jurulatih TFC dengan cemerlang pada musim depan.
"Kami yakin dengan kepakaran dan pengalaman yang ada pada beliau... Beliau pernah bersama pasukan T-Team FC pada 2015 dan meletakkan pasukan itu di kedudukan yang membanggakan.
"Kami harap beliau dapat meneruskan kecemerlangan yang ditinggalkan Nafuzi untuk membawa TFC ke masa depan lebih gemilang," katanya.
Steinbruckner memulakan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional bersama kelab negaranya, Osijek pada 1984 hingga 1992 sebelum berhijrah ke kelab Belisce, juga dalam Liga Croatia.
Pemain yang beraksi di posisi tengah itu kemudian menamatkan kariernya sebagai pemain bersama kelab Singapore Armed Forces FC pada 1999 sebelum bergelar jurulatih bersama kelab dalam Liga Croatia, NK Osijek pada 2008.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment